Pada awal tahun ini, Intel telah memperkenalkan siri cip pemprosesan komputer riba nipis dan ringan Intel Core Ultra 300 “Panther Lake” yang hadir dengan kuasa pemprosesan yang lebih hebat dan digabungkan bersama jangka-hayat bateri yang sangat panjang.

Hari ini, Intel Malaysia telah mengumumkan bahawa model-model komputer riba yang dikuasakan oleh siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 300 tersebut akan memasuki pasaran tempatan secara besar-besaran dalam masa terdekat ini.

Untuk siri cip pemprosesan ini, Intel telah memperkenalkan sehingga 14 SKU cip pemprosesan yang terdiri daripada Intel Core Ultra X9 388H yang hadir dengan 16 teras fizikal ke Intel Core Ultra 5 322 yang mempunyai 6 teras fizikal.

Satu lagi pengenalan baru ialah cip pemprosesan grafik terbaru Intel, iaitu Intel Arc B390 dan Intel Arc Pro B390 yang hadir dengan 12 teras grafik Intel Xe3, yang merupakan kemaskini kepada arkitektur grafik Intel Battlemage yang diperkenalkan pada tahun lepas. Sebagai perbezaan, siri cip Lunar Lake hadir dengan lapan teras Intel Xe2.

Jenama seperti Acer telah memperlihatkan komputer riba Acer Swift Go 16 AI dan Acer Swift Edge 14 AI baru-baru ini, dan ASUS juga telah memperlihatkan komputer riba seperti ASUS ZenBook Duo dan ASUS ZenBook S14 yang dikuasakan siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 300 dan sudahpun hadir di pasaran tempatan.

Kami juga telah mengulas sebuah komputer riba yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 300 terbaru ini, iaitu MSI Prestige Flip 14 AI+ dan ia memperlihatkan kemampuan produktiviti, riadah dan ketahanan bateri cip pemprosesan Intel yang terbaru ini.





