
SHAH ALAM: Gandingan baharu Sarawak, Elvis Priestly Clement-Awang Sharzan Nasrin Awang Nasaruddin, mencipta kejutan apabila meraih emas acara terjun seirama 3 meter papan anjal lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026, sebentar tadi.
Turun sebagai pasangan pada saat akhir, Elvis-Awang mengumpul keseluruhan 333.90 mata untuk mengetepikan juara Sukan SEA, Nurqayyum Nazmi Nazim-Yong Rui Jie dari Wilayah Persekutuan yang terpaksa berpuas hati dengan perak selepas mengumpul 331.11 mata.
Pasangan Selangor, Ikmal Abror Ibrahim-Haris Mohd Rezal pula melengkapkan podium dengan 307.89 mata dalam saingan di Pusat Akuatik Darul Ehsan.
Elvis-Awang mengumpul 41.40, 40.20, 60.30, 59.40, 63.24 dan 69.36 mata dalam enam terjunan untuk muncul juara dengan kelebihan 2.79 mata ke atas pasangan Wilayah Persekutuan.
Kejayaan itu lebih manis buat Awang apabila dia hanya diturunkan sebagai pengganti pada saat akhir selepas Jared Aiden Harold mengalami kecederaan.
Dalam pada itu, Sarawak turut menambah emas menerusi Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj dalam acara 10 m platform individu wanita.

Nur Eilisha Rania muncul juara selepas mengumpul 280.30 mata hasil lima terjunan, manakala Lee Yiat Qing dari Wilayah Persekutuan meraih perak dengan 273.85 mata.
Pingat gangsa menjadi milik seorang lagi wakil Sarawak, Cecelia Olivia Christopher Leoneil yang mengumpul 228.50 mata.-UTUSAN
The post Elvis-Awang cipta kejutan, raih emas 3m papan anjal appeared first on Utusan Malaysia.






