Emas SUKMA belum cukup buat Elvis

21 Aug 2026 • 11:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Emas SUKMA belum cukup buat Elvis

SHAH ALAM: Pingat emas tidak mampu menutup rasa kurang puas hati penerjun Sarawak, Elvis Priestly Clement yang mengakui persembahannya bersama Jared Aiden Harold dalam acara terjun seirama lelaki 10 meter (m) platform Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, semalam masih belum mencapai tahap terbaik.

Gandingan Sarawak itu bagaimanapun berjaya mengekalkan penguasaan mereka apabila mengumpul 330.51 mata untuk meraih emas, mengatasi pasangan tuan rumah, Haziq Muizzudin-Arfa Zikry yang membawa pulang perak dengan 305.28 mata, manakala gandingan Sabah, Mohamad Ayron-Muhamad Anilrian Normatrud meraih gangsa menerusi 288.78 mata.

Kemenangan itu menjadi penawar buat Elvis selepas gagal mempertahankan emas acara 3m papan anjal individu pada Selasa, namun dia mengakui persiapan singkat bersama Jared menyebabkan mereka masih bergelut mencari keserasian.

“Hari ini saya rasa gembira sedikit sebab siapa yang tidak gembira apabila dapat emas, tetapi persembahan kami memang kurang memuaskan dan kami hanya bersyukur dengan apa yang diperoleh.

“Kami berdua baru hendak membina keserasian sedikit demi sedikit, jadi masih banyak perkara yang perlu diperbaiki,” kata kepada pemberita selepas aksi final, semalam.

Jared pula mengakui mereka terpaksa berdepan kekangan besar apabila tidak mempunyai cukup masa untuk menjalani latihan bersama sebelum turun mempertahankan emas yang pernah dimenangi mereka pada SUKMA 2022 di Kuala Lumpur.

“Persiapan dengan Elvis memang kurang kerana saya menjalani kem latihan di luar negara dan kami hanya sempat membina keserasian kira-kira seminggu sebelum SUKMA.

“Dia berada di Kuala Lumpur manakala saya pula di China dan Sarawak, malah saya tidak berada di Malaysia selama sebulan, jadi memang sangat kurang masa untuk kami melakukan latihan seirama,” katanya.

Menariknya, pasangan itu sebenarnya tidak meletakkan harapan tinggi untuk meraih emas kali ini selepas lama tidak bergandingan, namun pengalaman mereka pada SUKMA 2022 membantu ketika berdepan tekanan di final.

Bagi Elvis, perhatian kini beralih kepada Sukan Asia Aichi-Nagoya bulan depan apabila dia bakal kembali bergandingan dengan Enrique Maccartney Harold dalam acara 10m platform seirama dengan sasaran memburu pingat untuk Malaysia.

Untuk rekod, Elvis turut memenangi emas acara 10m seirama bersama Enrique pada SUKMA Sarawak 2024 menjadikan ini hatrik emas buat penerjun berusia 19 tahun berkenaan. – UTUSAN

The post Emas SUKMA belum cukup buat Elvis appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved