
Muhammad Haris Mohd Rezal kejutkan penerjun kebangsaan raih emas 1m papan anjal SUKMA Selangor 2026, catat 353.80 mata pada penampilan terakhirnya.
SHAH ALAM: Penerjun tuan rumah Muhammad Haris Mohd Rezal menutup penampilan terakhirnya pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan bergaya apabila kembali menaiki podium selepas lapan tahun untuk meraih pingat emas dalam acara 1 meter (m) papan anjal lelaki hari ini.
Atlet berusia 21 tahun itu mengumpul 353.80 mata, sekali gus mencipta kejutan ke atas dua penerjun kebangsaan yang mewakili Wilayah Persekutuan, iaitu Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dan Yong Rui Jie di Pusat Akuatik Darul Ehsan di sini.
Nurqayyum Nazmi meraih perak dengan 347.70 mata manakala rakan sepasukannya Rui Jie terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas mengumpul 336.15 mata.
Kemenangan itu menandakan kepulangan Muhammad Haris ke podium tertinggi SUKMA selepas meraih pingat emas terakhirnya pada edisi 2018 di Perak, ketika bergandingan bersama abang sulungnya Muhammad Syahmi untuk memenangi acara 10m platform seirama lelaki.
Mula menceburi sukan terjun pada usia enam tahun, Muhammad Haris berkata pingat emas itu amat bermakna kerana diraih pada penampilan terakhirnya di SUKMA, selain menjadi penghargaan kepada ahli keluarga atas sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang perjalanan kariernya.
Muhammad Haris, yang dibimbing bekas penerjun kebangsaan Rossharisham Roslan berharap kemenangan itu dapat membuka peluang untuk beliau mewakili Malaysia.
“Saya tidak pernah mewakili skuad negara. Teringin juga beraksi untuk Malaysia dan harap ada peluang buat penampilan pada Sukan SEA mahupun Sukan Komanwel satu hari nanti,” katanya.
SUKMA Selangor 2026 yang bermula pada 15 Ogos akan berlangsung sehingga 24 Ogos.






