Sukma 2026: Haris ketepikan Rui Jie, Nurqayyum

21 Aug 2026 • 5:09 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukma 2026: Haris ketepikan Rui Jie, Nurqayyum

SHAH ALAM – Penerjun Selangor, Muhammad Haris Mohd Rezal mencuri tumpuan pada saingan terjun Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 apabila mengetepikan dua penerjun negara untuk merangkul emas acara 1 meter (m) papan anjal lelaki di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.

Haris mempamerkan aksi konsisten sepanjang saingan sebelum mengumpul 353.80 mata, sekali gus mengatasi wakil Wilayah Persekutuan, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim yang terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi 347.70 mata.

Seorang lagi penerjun negara, Yong Rui Jie yang sebelum ini mengungguli acara 3m papan anjal individu melengkapkan podium dengan gangsa selepas mengumpul 336.15 mata.

Haris sebelum itu turut menyumbang gangsa bersama Ikmal Abror Ibrahim dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki menerusi 307.89 mata, namun kejutan terbesar menjadi milik pasangan Sarawak, Elvis Priestly Clement-Awang Sharzan Nasrin.

Elvis-Awang Sharzan yang hanya sempat menjalani satu sesi latihan bersama sebelum bertanding mengejutkan juara Sukan SEA Thailand 2025, Rui Jie-Nurqayyum apabila merampas emas dengan 333.90 mata, hanya 2.79 mata mengatasi gandingan Wilayah Persekutuan itu yang mencatat 331.11 mata.

“Prestasi hari ini sangat memuaskan kerana kami hanya sempat melakukan latihan seirama sekali untuk Sukma kali ini. Kami hanya mula berlatih apabila tiba di sini dan mungkin ini rezeki kami,” kata Elvis selepas aksi tersebut.

Image from: Sukma 2026: Haris ketepikan Rui Jie, Nurqayyum
ANTARA aksi terjunan atlet Sarawak, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj ketika beraksi dalam final acara 10 meter (m) platform wanita Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 di Pusat Akuatik Selangor, hari ini. Foto ISKANDAR ISHAK

Dalam acara 10m platform wanita pula, Sarawak turut meraikan emas menerusi Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj yang mengungguli saingan dengan 280.30 mata, mengatasi Lee Yiat Qing dari Wilayah Persekutuan yang meraih perak dengan 273.85 mata.

Seorang lagi wakil Sarawak, Cecelia Olivia Christopher Leoneil melengkapkan podium dengan gangsa menerusi 228.50 mata, sekali gus menutup saingan hari ini dengan dua emas buat kontinjen Bumi Kenyalang. KOSMO! ONLINE

The post Sukma 2026: Haris ketepikan Rui Jie, Nurqayyum appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved