liza29/10/2026 - 15:11 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt – Emerge Insurtech Holdings Pte Ltd melengkapkan pengambilalihan Merlion Insurance Brokers Ltd, sebuah broker insurans dan insurans semula berlesen di Labuan bagi memperluas akses kepada pasaran insurans semula antarabangsa serta memenuhi keperluan perlindungan risiko projek infrastruktur berskala besar di Malaysia.
Pengambilalihan itu selesai selepas mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA). Merlion Insurance Brokers Ltd kini dikenali sebagai Emerge Reinsurance Brokers (Labuan) Ltd atau Emerge Re.
Emerge berkata, pengambilalihan itu memberikan kumpulan berkenaan akses terus kepada pasaran insurans semula antarabangsa bagi risiko di Malaysia dan rantau Asia Tenggara, khususnya dalam sektor yang berdepan kekangan kapasiti perlindungan domestik.
Antara bidang tumpuan Emerge Re ialah pembinaan dan kejuruteraan bagi infrastruktur berskala besar, risiko pembinaan serta operasi pusat data, projek tenaga boleh baharu, penghantaran elektrik, jaminan dan bon, selain pendedahan liabiliti baharu termasuk berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Lonjakan projek pusat data tingkatkan keperluan perlindungan
Malaysia menyaksikan perkembangan pesat projek infrastruktur sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan Johor menjadi antara tumpuan utama pembangunan pusat data.
Sehingga pertengahan 2025, sebanyak 42 projek pusat data bernilai RM164.45 bilion diluluskan di Johor. Negeri itu juga menempatkan kira-kira 80% daripada kapasiti pusat data Malaysia, sekali gus menjadikannya pasaran yang berkembang pesat tetapi turut terdedah kepada risiko iklim.
Pada masa sama, kapasiti pusat data terpasang di Asia Pasifik, tidak termasuk China, dijangka meningkat daripada kira-kira sembilan gigawatt (GW) kepada lebih 28GW menjelang 2030, manakala kapasiti Malaysia dijangka berkembang lebih 10 kali ganda.
Perkembangan itu meningkatkan keperluan terhadap perlindungan insurans yang mampu menampung risiko pembinaan, kerosakan peralatan dan gangguan operasi, khususnya bagi kemudahan pusat data berskala besar.
Pengarah Urusan Kumpulan Emerge Group, Kevin Hoong berkata, syarikat Malaysia dan multinasional sedang membangunkan projek infrastruktur yang semakin besar, sedangkan penyedia insurans tempatan tidak mampu menanggung keseluruhan risiko secara bersendirian.
Beliau berkata, satu kejadian di pusat data berskala hiperskala sahaja boleh menyebabkan kerugian antara AS$50 juta hingga AS$100 juta.

Risiko banjir dan kebakaran tambah tekanan
Selain pertumbuhan pusat data, risiko bencana alam turut meningkatkan keperluan terhadap perlindungan insurans bagi infrastruktur utama negara.
Kerugian ekonomi akibat banjir di Malaysia berjumlah RM636.9 juta pada 2025, manakala banjir pada Disember 2021 mencetuskan tuntutan insurans sehingga RM3 bilion.
Emerge berkata, pelanggan berdepan had kapasiti apabila pasaran insurans domestik sukar mengimbangi perkembangan projek infrastruktur. Dalam keadaan tertentu, pelanggan mungkin terpaksa menerima perlindungan yang lebih rendah apabila kapasiti yang diperlukan tidak tersedia.
Hubungkan risiko Malaysia dengan pasaran global
Kevin berkata, kumpulan itu telah membina hubungan dengan pemain insurans dan insurans semula antarabangsa selama beberapa tahun sambil memperkenalkan peluang pertumbuhan di Malaysia kepada pasaran berkenaan.
Menurutnya, lesen yang dimiliki Emerge Re membolehkan syarikat memasarkan risiko Malaysia dengan lebih meluas kepada pasaran global.
Emerge Group turut menggunakan data dan analisis sendiri untuk mengenal pasti syarikat insurans yang paling sesuai bagi menyediakan perlindungan berdasarkan risiko setiap pelanggan.
Pendekatan berteraskan teknologi itu bertujuan membantu pelanggan mendapatkan terma perlindungan dalam tempoh beberapa hari berbanding beberapa minggu, khususnya ketika kapasiti bagi kelas risiko tertentu semakin terhad.
Selain pusat data dan tenaga boleh baharu, Emerge Group turut memberi tumpuan kepada liabiliti berkaitan kecerdasan buatan dan risiko siber. Kumpulan itu disokong oleh pelabur modal teroka serantau, Iterative dan Hustle Fund. - DagangNews.com






