
PETALING JAYA – Empat anggota Unit Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Utara 2, Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerima penghargaan selepas berjaya menahan seorang lelaki disyaki mencuri kabel di Kilometer (KM) 134.3 (U), Lebuh Raya Utara-Selatan, baru-baru ini.
Penghargaan itu disampaikan Pengarah JSPT, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali kepada Sarjan Mohd Nazri Darus@ Che Rose, Koperal Aminuddin Alias, Koperal Fahrul Rizad Mohd Radzi dan Konstabel Vaila Vildano Makotad di pejabatnya di Bukit Aman, hari ini.
JSPT menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan, pengiktirafan berkenaan diberikan susulan kejayaan anggota terbabit ketika menjalankan rondaan penguatkuasaan sebelum terserempak dengan sebuah kenderaan mencurigakan di lokasi berkenaan.
Hasil pemeriksaan, anggota berkenaan menahan seorang lelaki yang membawa kabel tembaga yang sudah dibakar dan disyaki barangan curi.
“Tangkapan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk menjalani saringan air kencing didapati positif dadah,” kata JSPT hari ini.
Menurut JSPT, kejayaan tersebut mencerminkan tahap kecekapan, keberanian dan komitmen tinggi anggotanya dalam melaksanakan tugas.
Katanya, tindakan berkenaan turut memperkukuh usaha Polis Diraja Malaysia dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
Dalam pertemuan itu, Muhammed Hasbullah turut menzahirkan penghargaan atas dedikasi anggota terbabit selain berharap kecemerlangan berkenaan menjadi inspirasi kepada seluruh warga JSPT untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, negara dan pasukan. – KOSMO! ONLINE
The post Empat anggota JSPT diberi penghargaan tahan suspek curi kabel appeared first on Kosmo Digital.






