
KULAI – Seorang maut lima cedera termasuk seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan lori di Kilometer 55.1, Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara di sini malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 12.13 tengah malam tadi.
Katanya, susulan daripada itu, seramai lima anggota bersama-sama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian sebelum mendapati kemalangan tersebut membabitkan van jenis Toyota dan lori Isuzu melibatkan tujuh mangsa.
“Terdapat enam mangsa berada dalam van berkenaan. Lima daripada penumpang van yang cedera iaitu seorang lelaki dewasa, seorang lelaki OKU, seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
“Seorang wanita yang juga pemandu van berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit pada bahagian pemandu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas penyelamatan sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ujarnya, semua mangsa yang cedera pula diberikan rawatan oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM), pemandu lori bagaimana pun dan tidak mengalami sebarang kecederaan.- KOSMO! ONLINE
The post Seorang maut, lima cedera nahas dua kenderaan appeared first on Kosmo Digital.






