
Empat individu ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Port Dickson, termasuk suspek yang dipercayai terlibat kes curi motosikal di Senai
PORT DICKSON: Empat individu berusia 19 hingga 21 tahun ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Pintasan Port Dickson di sini awal pagi tadi, dengan seorang daripada mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan kes curi kenderaan di Senai, Johor.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata suspek itu dikenal pasti selepas polis membuat semakan nombor pendaftaran melalui sistem Integrated Police Reporting System (IPRS) yang mengesahkan kehilangan kenderaan tersebut.
“Permohonan reman terhadap suspek yang disyaki berkaitan curi motosikal berusia awal 20-an itu dibuat pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita selepas operasi tamat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson hari ini.
Ahmad Afiq berkata dalam operasi itu, sebanyak 45 kenderaan dan 65 individu diperiksa dengan empat tangkapan yang dibuat membabitkan pelbagai kesalahan termasuk mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Beliau berkata satu tangkapan turut dilakukan atas kesalahan di bawah Seksyen 108 APJ 1987 berkaitan pengubahsuaian maklumat pendaftaran kenderaan.
Selain itu, sebanyak 85 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Penguatkuasaan undang-undang akan terus dipertingkatkan di Port Dickson, khususnya sepanjang musim cuti bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman pengguna jalan raya terjamin,” katanya.






