Empat lelaki didakwa bunuh usahawan

17 Aug 2026 • 11:13 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Empat lelaki didakwa bunuh usahawan

Empat lelaki didakwa membunuh seorang usahawan di Johor, dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Okt bagi menunggu laporan forensik

BATU PAHAT: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang usahawan pada awal bulan ini.

Tiada pengakuan direkodkan daripada S. Yogesvaran, 40, Lin Yong Ming, 26, N. Achutan, 32, dan How Han Wei, 33, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno, memandangkan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan tidak boleh dijamin.

Mereka didakwa membunuh Low Kai Xian, 39, antara 29 Julai pada 2.35 petang di Jalan Emas Putih 2, Taman Sri Skudai, Johor Bahru hingga 3 Ogos kira-kira 12.30 tengah hari di Sungai Tanjung Sembrong, Batu Pahat.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun, serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika hukuman mati tidak dijatuhkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim.

Achutan diwakili peguam S. Sean Dodley, manakala tiga yang lain diwakili peguam Datin Freda Sabapathi.

Mustaqim kemudian menetapkan 14 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat, asid deoksiribonukleik (DNA), forensik kamera litar tertutup (CCTV) dan telefon.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan lima suspek susulan penemuan mayat lelaki berusia 39 tahun yang ditemukan terapung dan dililit jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, dekat sini, awal bulan ini.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan jerutan di leher menggunakan tali sebelum dibawa menaiki kenderaan, diikat kedua-dua tangannya menggunakan pita pelekat dan jasadnya dibalut dengan jaring.

Lima ketul batu turut ditemukan pada mayat yang dipercayai digunakan untuk menenggelamkan mangsa.

Mangsa dilaporkan hilang oleh isterinya sejak 29 Julai, manakala keluarganya hanya menemukan kenderaan mangsa di Johor Bahru.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved