
MARANG – Seramai empat lelaki diberkas polis bagi membantu siasatan menyamun sebuah lori membawa muatan produk makanan dan minuman di persimpangan Bukit Chendering, di sini, semalam.
Lori milik seorang lelaki berusia 37 tahun itu dipercayai dilarikan kumpulan suspek tersebut pada pukul 2.08 petang.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Saari Mohamed berkata, sewaktu kejadian, mangsa sedang memandu lori jenis Isuzu mendakwa dihampiri sebelum dihimpit kenderaan pikap, Mitsubishi Triton dinaiki kesemua suspek.
Beliau berkata, keempat-empat suspek kemudiannya dikatakan membuka kedua-dua pintu lori berkenaan sebelum mengambil kunci dan melarikan lori berkenaan.
“Barangan jualan termasuk minuman tenaga, minuman dalam tin dan botol, makanan ringan, mi segera, susu dan biskut yang terdapat di dalam lori itu turut dilarikan.
“Hasil siasatan kemudian berjaya menahan empat suspek berusia antara 27 hingga 41 tahun tidak lama kemudian,” katanya.
Saark berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Empat lelaki disyaki samun lori produk makanan diberkas appeared first on Kosmo Digital.






