
KUALA LUMPUR: Empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah dijangka berdepan hujan berterusan sehingga Rabu ini susulan amaran tahap buruk dan waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, analisis terhadap model-model ramalan cuaca menunjukkan luruan monsun dijangka memasuki rantau negara hingga Rabu yang berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, khususnya di kawasan pantai timur Semenanjung dan timur Sabah.
Katanya, amaran hujan berterusan tahap buruk melibatkan lima jajahan di Kelantan iaitu Bachok, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Pasir Puteh.
“Amaran sama turut melibatkan hampir keseluruhan daerah di Terengganu merangkumi Besut, Setiu, Dungun, Kemaman, Marang, Kuala Terengganu serta Kuala Nerus,” katanya dalam kenyaataan.
Katanya, amaran hujan berterusan tahap waspada pula dikeluarkan bagi empat jajahan di Kelantan iaitu Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli, selain Hulu Terengganu, Terengganu.
“Keadaan sama diramal turut melibatkan Kuantan, Pekan, Rompin dan Jerantut di Pahang selain Kudat, Paitan, Telupid, Labuk dan Sugut, Sandakan serta Kinabatangan di Sabah,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi dan media sosial MetMalaysia, aplikasi myCuaca dan talian 1-300-22-1638. – UTUSAN
The post Empat negeri berdepan hujan berterusan hingga Rabu appeared first on Utusan Malaysia.






