
MELAKA: Empat individu yang memegang jawatan pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan menggunakan dokumen yang didakwa mengandungi pernyataan palsu bagi permohonan tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Tertuduh ialah Henry Ratnaike, 43, Ling Yate May, 58, Koh Kai Loon, 37, dan Gan Pay Kiat, 32, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Henry, Pengarah Syarikat Alpha Buildcon, berdepan empat pertuduhan, manakala Ling yang juga pengarah syarikat sama, didakwa atas empat pertuduhan kerana bersubahat dengannya.
Koh, Pengarah Syarikat PK Tan Auto & Car Repair, pula menghadapi satu pertuduhan, sementara Gan yang merupakan Pengarah Syarikat Prima Kerjaya Trading didakwa atas dua pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, Henry didakwa pada 10 Mei 2024 di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam menyerahkan Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 kepada ejen PERKESO bagi permohonan tuntutan insentif bernombor rujukan DK55918001 hingga DK55918004 yang didakwa mengandungi pernyataan palsu.
Ling pula didakwa bersubahat dalam keempat-empat pertuduhan yang melibatkan permohonan sama.
Koh didakwa melakukan kesalahan serupa pada 14 Jun 2024 di Taman Kasawari Utama, Durian Tunggal membabitkan permohonan bernombor DK56204002, manakala Gan didakwa melakukan dua kesalahan sama pada 27 dan 31 Mei 2024 di Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar bagi permohonan DK55899002 dan DK55899003.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama. Ling pula didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama kerana bersubahat.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta didenda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran matan yang palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Henry dan Ling diikat jamin RM15,000 setiap seorang, Koh RM9,000 dan Gan RM13,000 sebelum menetapkan 14 September ini untuk sebutan semula kes. –UTUSAN
The post Empat pengarah syarikat mengaku tidak bersalah 30 pertuduhan tuntutan palsu Dana Kerjaya 2.0 Perkeso appeared first on Utusan Malaysia.






