
BATU PAHAT – Seorang pelajar tingkatan empat diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 90 jam selepas mengaku bersalah mencederakan seorang lelaki sehingga mengalami kecederaan pada muka, kepala dan anggota badan, Mei lalu.
Majistret Mustaqim Sukarno menjatuhkan perintah itu terhadap tertuduh berusia 16 tahun selepas mengambil kira pengakuan salah serta fakta kes yang dikemukakan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh diperintahkan menyempurnakan 90 jam khidmat masyarakat dalam tempoh enam bulan.
Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM1,500 serta beberapa syarat termasuk sekatan masa dan ibu bapanya dikehendaki berhubung dengan pihak sekolah sebanyak dua kali sebulan.
Selain itu, tertuduh perlu melapor diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dua kali sebulan, mengikuti program yang ditetapkan JKM serta tidak melakukan sebarang kesalahan sepanjang tempoh bon berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dua rakannya yang sudah dijatuhi hukuman didakwa mencederakan seorang lelaki berusia 33 tahun di hadapan sebuah rumah di Taman Bandar, di sini, kira-kira pukul 1.45 pagi pada 25 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Bagi pesalah juvana, mahkamah mempunyai beberapa pilihan hukuman termasuk bon berkelakuan baik, denda, pampasan atau kos selain boleh menghantar pesalah ke Sekolah Henry Gurney.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa dipukul tertuduh bersama dua rakannya sehingga mengalami kecederaan pada muka, kepala, tangan dan kedua-dua kaki.
Siasatan mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang mahu memutuskan hubungan dengan kakak kepada salah seorang rakan tertuduh.
Seorang saksi mata turut melihat kejadian berkenaan, manakala laporan perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan kiri dan muka.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-KOSMO! ONLINE
The post Pelajar tingkatan empat jalani khidmat masyarakat selepas cederakan lelaki appeared first on Kosmo Digital.






