
Kota Kinabalu: Empat lelaki maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan berhampiran Taman Jaya Diri, Jalan Sepanggar, awal pagi Ahad.
Mereka dikenal pasti sebagai Axelord Nigel Alexander, 21, Nicholas Thomas, 24, Raynniel Robin, 23, dan Junior Allyson A Julius, 19.
Keempat-empat mangsa disahkan meninggal dunia selepas Perodua Viva yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 2.30 pagi yang turut membabitkan sebuah lori Isuzu NPR, Perodua Aruz, van Nissan Urvan dan Proton X50.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata siasatan awal mendapati Perodua Viva dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun bersama tiga penumpang lelaki dari arah Sepanggar menuju ke Indah Permai.
Beliau berkata apabila tiba di lokasi kejadian pemandu Viva dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebuah lori Isuzu NPR serta sebuah Aruz.
“Akibat pelanggaran itu, lori berkenaan terdorong ke hadapan lalu menghempap sebuah van Nissan Urvan sebelum van tersebut melanggar sebuah Proton X50,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, keempat-empat mangsa yang tersepit di dalam Viva berkenaan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Likas,” katanya, dan menambah mayat mereka kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I di sini untuk bedah siasat.
Siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Royston di 016-3130153 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Menurut sumber, empat rakan berkenaan mempunyai hubungan yang rapat dan sering dilihat ke gereja bersama.






