EMPG meterai penjanjian taja jamin dengan Berjaya Securities untuk IPO di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
1 Oct 2026 • 5:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EMPG meterai penjanjian taja jamin dengan Berjaya Securities untuk IPO di Pasaran ACE Image from: EMPG meterai penjanjian taja jamin dengan Berjaya Securities untuk IPO di Pasaran ACE hamden01/10/2026 - 17:46 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Okt - EMPG Group Berhad, kumpulan pakaian Malaysia yang terlibat dalam perniagaan runcit dan borong pakaian, hari ini menandatangani perjanjian pengunderaitan dengan Berjaya Securities Sdn Bhd bersempena tawaran awam permulaan (IPO) dan cadangan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Kumpulan itu berkata, IPO berkenaan merangkumi terbitan awam sebanyak 121.60 juta saham biasa baharu EMPG serta tawaran untuk jualan sehingga 48.50 juta saham sedia ada.

 

Daripada jumlah terbitan awam itu, sebanyak 30.30 juta saham baharu atau kira-kira 5% daripada modal saham terbitan Kumpulan yang diperbesarkan akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian, dengan 50% daripadanya diperuntukkan kepada pelabur awam Bumiputera.

 

Selain itu, sebanyak 4.30 juta saham baharu atau kira-kira 0.71% akan ditawarkan kepada Pengarah dan pekerja Kumpulan yang layak melalui peruntukan borang merah jambu.

 

Sebanyak 75.75 juta saham baharu atau kira-kira 12.50% pula akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala 11.25 juta saham baharu atau kira-kira 1.86% akan ditawarkan kepada pelabur terpilih.

 

Bagi tawaran untuk jualan, sehingga 48.50 juta saham sedia ada atau kira-kira 8% daripada modal saham terbitan Kumpulan yang diperbesarkan akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Di bawah perjanjian pengunderaitan itu, Berjaya Securities akan menaja jamin 34.60 juta saham baharu, terdiri daripada 30.30 juta saham untuk orang awam Malaysia dan 4.30 juta saham untuk Pengarah serta pekerja Kumpulan yang layak, tertakluk kepada peruntukan penarikan balik dan pengagihan semula.

 

Pengembangan rangkaian peruncitan 

Pengarah Urusan EMPG Group Berhad, Loh Tau Sing, berkata penandatanganan perjanjian pengunderaitan itu merupakan satu lagi langkah penting ke arah penyenaraian Kumpulan di Pasaran ACE.

 

“Dengan kelulusan pada prinsip yang telah diperoleh dan pengaturan pengunderaitan kini tersedia, kami berada pada kedudukan yang baik untuk meneruskan pelancaran prospektus.

 

“IPO ini akan menyediakan sumber untuk mempercepatkan pengembangan rangkaian peruncitan kami di seluruh Malaysia, khususnya bagi jenama Hummer dan Pierre Cardin, selain mengukuhkan modal kerja untuk menyokong jenama milik kami sendiri,” katanya.

 

EMPG Group mereka bentuk, memasarkan dan menjual pelbagai jenis pakaian berkualiti pada harga berpatutan untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.

 

Rangkaian peruncitannya merangkumi Kaunter Konsainan di seluruh Malaysia, kedai runcit kendiri di Lembah Klang dan platform e-dagang, selain aktiviti borong yang meliputi jualan secara terus serta perkhidmatan mendapatkan sumber pakaian dan fabrik.

 

Portfolio Kumpulan merangkumi jenama milik sendiri seperti Exhaust, Idexer, Silverland, Brittania, Ventine, Millward, Aplus, John Rider, Oxen, Elmer dan MU-7, serta jenama berlesen Hummer dan Pierre Cardin.

 

Sementara itu, Ketua Pasaran Modal/Kewangan Korporat Berjaya Securities, Anuar Omar, berkata penyenaraian itu akan menyediakan EMPG akses kepada pasaran modal bagi menyokong fasa seterusnya dalam pengembangan peruncitannya.

 

Kumpulan menjangka memperoleh hasil kasar daripada terbitan awam tersebut yang akan diperuntukkan terutamanya bagi pengembangan rangkaian peruncitan, modal kerja tambahan dan anggaran perbelanjaan penyenaraian.

 

EMPG merancang membuka Kaunter Konsainan dan butik tambahan di seluruh Malaysia bagi jenama Hummer dan Pierre Cardin, selain jenama sedia ada yang lain.

 

Modal kerja tambahan pula akan digunakan terutamanya bagi pembelian produk yang dipasarkan di bawah jenama milik Kumpulan. Hasil daripada tawaran untuk jualan akan diperoleh sepenuhnya oleh pemegang saham penjual.

 

Berjaya Securities merupakan Penasihat Utama, Penaja, Pengunderait dan Ejen Penempatan bagi IPO berkenaan, manakala WYNCORP Advisory Sdn Bhd merupakan Penasihat Kewangan Korporat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved