amree28/09/2026 - 17:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept — Hasrat Impact Capital Holdings Berhad disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia semakin hampir apabila ia memeterai perjanjian taja jamin dengan Public Investment Bank Berhad (PIVB), sebagai persediaan bagi tawaran awam permulaan (IPO).
Langkah berkenaan dilaksanakan ketika syarikat rumusan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tersebut merancang menggunakan dana IPO itu untuk memperluas pejabat, tenaga kerja dan aktiviti pembangunan perniagaan, selain memperkukuh keupayaan teknologi semasa.
Kumpulan tersebut menambah, IPO berkenaan turut akan menyokong usaha pembangunan pusat inovasi dan rumusan digital yang sudah dirancang sebelum ini, di samping menyediakan modal kerja cukup serta membiayai anggaran perbelanjaan penyenaraian di bursa.
"IPO ini akan merangkumi terbitan awam berjumlah 96.69 juta saham baharu manakala tawaran untuk jualan semula mencecah sebanyak 28.62 juta saham yang sedia ada," jelas Impact Capital dalam satu kenyataan.
Daripada terbitan awam itu, sebanyak 24 juta saham atau 5% daripada modal terbitan diperbesar akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia, manakala 16 juta saham atau kira-kira 3.33% diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu lain yang berkelayakan.
Sebanyak 56.69 juta saham, bersamaan kira-kira 11.81% daripada modal saham diperbesar, pula akan ditawarkan melalui langkah penempatan persendirian kepada pelabur yang terpilih.

Sementara itu ujar Impact Capital, tawaran untuk jualan membabitkan 28.62 juta saham sedia ada atau kira-kira 5.96% daripada modal saham diperbesar, juga melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
"Di bawah perjanjian itu, PIVB akan menaja jamin sebanyak 40 juta saham, merangkumi keseluruhan 24 juta saham untuk permohonan orang awam Malaysia dan 16 juta saham bagi pengarah, pekerja serta individu yang layak," kata kumpulan berkenaan.
Pengarah Urusannya, Winston Chai Fung Chun berkata, pemeteraian perjanjian itu merupakan satu lagi langkah penting ke arah penyenaraian syarikat selepas lebih dua dekad membina keupayaan dalam rumusan integrasi sistem dan infrastruktur ICT.
Beliau berkata penyenaraian itu akan menyediakan platform kepada kumpulan untuk memperluas jejak operasi, memperkukuh tenaga kerja dan keupayaan pembangunan perniagaan serta meningkatkan keupayaan teknologi menerusi penambahan pelbagai tawaran rumusan.
Impact Capital mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri ICT, dengan menyediakan rumusan integrasi bagi prasarana kritikal termasuk infrastruktur telekomunikasi, rangkaian perusahaan, pusat data(DC), sistem keselamatan dan rumusan digital twin.
"Kumpulan ini turut membekalkan perkakasan, perisian serta perkhidmatan penyelenggaraan dan rangkaian terurus. PIVB bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan," katanya. - DagangNews.com





