Pengeluar produk makanan kesihatan NWE Resources sasar raih RM28.63 juta menerusi IPO di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
29 Sep 2026 • 12:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengeluar produk makanan kesihatan NWE Resources sasar raih RM28.63 juta menerusi IPO di Pasaran ACE Image from: Pengeluar produk makanan kesihatan NWE Resources sasar raih RM28.63 juta menerusi IPO di Pasaran ACE liza29/09/2026 - 12:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Sept – NWE Resources Group Berhad menyasarkan untuk meraih RM28.63 juta menerusi penerbitan 143.15 juta saham baharu pada harga 20 sen sesaham dalam tawaran awam permulaan (IPO) bagi penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 27 juta saham ditawarkan kepada orang awam Malaysia, 10.8 juta saham kepada pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan, manakala 105.35 juta saham diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih. 

 

Selepas IPO, modal saham terbitan NWE Resources akan meningkat kepada 540 juta saham dengan permodalan pasaran berdasarkan harga IPO berjumlah RM108 juta.

 

Berdasarkan draf prospektus di Bursa Malaysia, NWE Resources merancang menggunakan hasil IPO itu untuk pembangunan produk, memperluas keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), aktiviti pemasaran serta pembelian peralatan dan kenderaan.

 

Daripada RM28.63 juta tersebut, RM9.14 juta atau 31.93% diperuntukkan untuk pembangunan produk, RM8.22 juta atau 28.71% bagi keperluan modal kerja dan RM4.57 juta atau 15.96% untuk aktiviti pemasaran dan promosi. Sebanyak RM1.16 juta lagi diperuntukkan bagi peluasan keupayaan R&D. 

 

Baki hasil IPO pula akan digunakan untuk pembelian peralatan dan kenderaan sebanyak RM940,000, penubuhan pejabat jualan baharu RM600,000 serta anggaran RM4 juta bagi perbelanjaan penyenaraian. Kebanyakan dana tersebut akan digunakan dalam tempoh antara 12 hingga 36 bulan selepas penyenaraian. 

 

Makanan kesihatan semakin jadi tumpuan

Antara rancangan utama NWE Resources ialah membangunkan enam formulasi makanan kesihatan baharu dan meningkatkan keupayaan untuk mengeluarkan sebahagian produk itu secara dalaman di kemudahan Glenmarie.

 

Syarikat juga merancang memperluas pasukan R&D serta membeli mesin dan peralatan bagi menyokong aktiviti formulasi dan pengeluaran makanan kesihatan. Langkah itu dijangka memberi kawalan lebih langsung terhadap kualiti serta membantu memendekkan tempoh pembangunan dan pengeluaran produk.

 

t

 

Makanan kesihatan semakin penting kepada perniagaan kumpulan apabila sumbangannya kepada hasil meningkat daripada 43.25% pada tahun kewangan 2023 kepada 51.64% pada 2024, 52.88% pada 2025 dan 55.13% pada 2026. 

 

Pada tahun kewangan 2026, hasil makanan kesihatan berjumlah RM22.95 juta, merangkumi RM13.21 juta daripada aktiviti pengedaran serta RM9.74 juta daripada formulasi dan bekalan.

 

Dalam tempoh sama, produk penjagaan diri dan produk berkaitan menyumbang RM17.03 juta atau 40.90% kepada hasil kumpulan. Aktiviti ini merangkumi pengeluaran semula, pembuatan dan pengedaran produk penjagaan diri.

 

Dari segi prestasi kewangan, hasil NWE Resources meningkat daripada RM35.24 juta pada tahun kewangan 2023 kepada RM45.57 juta pada 2024 sebelum menurun kepada RM43.49 juta pada 2025 dan RM41.63 juta pada 2026. 

 

Bagaimanapun, keuntungan kasar meningkat daripada RM13.73 juta pada 2023 kepada RM21.80 juta pada 2026, manakala keuntungan selepas cukai meningkat daripada RM2.90 juta kepada RM8.54 juta dalam tempoh sama. 

 

Margin keuntungan kasar turut meningkat daripada 38.96% pada 2023 kepada 52.37% pada 2026, manakala margin keuntungan selepas cukai meningkat daripada 8.22% kepada 20.52%.

 

Selain makanan kesihatan, NWE Resources turut merancang membangunkan lima formulasi baharu produk penjagaan diri dengan tumpuan kepada penjagaan kulit. Produk itu akan dihasilkan secara dalaman dan dipasarkan di bawah jenama sendiri melalui jualan langsung berbilang tingkat (MLM) serta saluran lain, selain syarikat merancang membuka pejabat jualan M-Plan baharu di Johor. 

 

Secara keseluruhannya, NWE Resources akan memberi tumpuan selepas penyenaraian kepada pembangunan produk baharu, pengembangan keupayaan R&D dan pengeluaran dalaman, di samping memperluas aktiviti pemasaran serta rangkaian jualannya menggunakan sebahagian daripada hasil IPO tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved