Malakoff bina loji solar 100MW di Bintulu

LocalBusiness & Finance
3 Oct 2025 • 3:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malakoff bina loji solar 100MW di Bintulu

image is not available

03/10/2025 - 15:04

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Okt – Malakoff Corporation Bhd memperkukuh portfolio tenaga boleh diperbaharuinya (RE) dengan memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 30 tahun bersama Syarikat SESCO Bhd, anak syarikat Sarawak Energy, bagi membangunkan loji janakuasa solar fotovoltaik berkapasiti 100 megawatt (MW) di Bintulu.

Projek itu akan dilaksanakan oleh Malakoff Evergreen Sdn Bhd (MEVSB), sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki 70% oleh Tuah Utama Sdn Bhd (anak syarikat penuh Malakoff) dan 30% oleh EE Solar Sdn Bhd.

Loji dijangka siap dan mula beroperasi pada 1 Mei 2028 dengan tenaga bersih disalurkan terus ke grid Sarawak sepanjang tempoh PPA.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, baru-baru ini, syarikat berjaya meraih projek solar 470 MW LSS5+ dan perancangan loji 100 MW di Bintulu melonjakkan kapasiti RE Malakoff kepada 768 MW.

“Ia juga dijangka mengelakkan pelepasan 11.1 juta tan metrik karbon dioksida (tCO₂e) setahun, bersamaan dengan penyerapan karbon oleh 18.3 juta pokok dewasa.

“Pemeteraian ini menandakan satu lagi langkah penting dalam perjalanan RE Malakoff, selari dengan aspirasi negara menuju masa depan rendah karbon serta menyokong Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) yang menyasarkan 10 GW kapasiti penjanaan menjelang 2030,” katanya dalam satu kenyataan.

Tahun ini juga menyaksikan Malakoff dinobatkan sebagai Pengeluar Tenaga Bebas Tahunan di Enlit Asia 2025 untuk tahun ketiga berturut-turut serta menerima Anugerah Merit di Anugerah Tenaga Kebangsaan 2025 bagi projek pembakaran bersama biojisim.

Katanya, semua pencapaian itu mencerminkan kepimpinan syarikat dalam inovasi tenaga.

Sempena ulang tahun ke-50, Malakoff menegaskan komitmennya terhadap aspirasi Sifar Bersih negara dengan hasrat Enhancing Life, Enriching Communities untuk membina masa depan tenaga yang bersih, mampan dan berdaya tahan untuk Malaysia. - DagangNews.com

standard