amree06/10/2026 - 11:51 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt — Empire Premium Food Berhad dilihat mempunyai ruang luas untuk berkembang ke bandar-bandar kecil serta Sabah, susulan pasaran yang masih kurang diterokai dan tahap persaingan yang relatif terhad, menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata antara lokasi yang dilihat berpotensi ialah Kangar, dan Kuala Terengganu, dengan kumpulan berkenaan merancang mempercepatkan pembukaan banyak cawangan di Sabah antaranya mulai tahun kewangan 2028 (FY28).
Kumpulan tersebut sudah membuka 15 cawangan baharu di bawah jenama Empire Sushi sepanjang separuh pertama FY27 (1HFY27), manakala tiga cawangan yang sedia ada pula ditutup sementara bagi kerja-kerja naik taraf premis berkenaan.
"Perkembangan ini menjadikan jumlah cawangan operasi Empire Premium kepada sebanyak 155 pada akhir suku kedua FY27 (2QFY27), meningkat 8.4% daripada 143 cawangan pada akhir tahun kewangan berakhir Mac 2026," jelas nota CIMB Securities.
Tambah firma itu, momentum pengembangan kedai dijangka sihat, dengan kumpulan tersebut menyasarkan pembukaan empat cawangan pada Oktober 2026, tiga pada November 2026, satu pada Disember 2026 dan satu lagi pada Januari 2027.
Daripada cawangan yang dirancang itu, enam akan menggunakan konsep 'quick dine-in' dengan format tali sawat yang menyasarkan pelanggan keluarga, manakala selebihnya menggunakan format 'grab-and-go' iaitu beli untuk dibawa pulang.

CIMB Securities berkata, Empire Premium turut mengekalkan momentum jualan yang sihat pada 2QFY27, disokong bukan sahaja pembukaan kedai baharu tetapi pelancaran produk secara berterusan, dengan pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) dijangka positif.
"Ia menyasarkan pembukaan 18 cawangan baharu setahun bagi FY27 hingga FY29, sedikit rendah daripada unjuran kami sebanyak 20 cawangan setahun, namun masih ada ruang pertumbuhan khususnya di pusat beli-belah, lapangan terbang dan stesen kereta api," katanya.
Dari segi geografi, peluang pengembangan ke Sabah dilihat besar memandangkan kumpulan hanya ada enam cawangan di Sarawak, selain produk barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) Empire Sushi turut menunjukkan penerimaan yang menggalakkan.
Selain itu, CIMB Securities melihat Belanjawan 2027 berpotensi menyokong permintaan melalui bantuan bersasar yang dapat mengekalkan kuasa beli isi rumah, walaupun kemungkinan kenaikan gaji minimum pekerja boleh memberi tekanan sederhana kepada margin.
Dengan anggaran 1,500 pekerja dan kos kakitangan menyumbang 40% daripada kos barangan yang dijual (COGS), firma itu namun menjangka kesannya kecil kerana kebanyakan pekerja sudah menerima gaji asas melebihi RM2,000 setiap bulan.
"Justeru, kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.36 dan menyifatkan syarikat berada pada kedudukan baik meraih manfaat peningkatan perbelanjaan isi rumah, disokong harga produk Empire Sushi yang mampu milik," katanya. - DagangNews.com





