amree17/09/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Sept — IJM Corporation Berhad dilihat berpotensi membuka potensi perniagaan dalam kumpulan menerusi program penjanaan nilai RM3 bilion, meskipun pelaksanaannya masih berdepan risiko termasuk keupayaan menukar buku tender kepada kontrak sebenar, menurut Apex Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, program berkenaan merangkumi cadangan penyenaraian anak syarikat pembinaannya iaitu IJMC, konsesi tol lebuh raya serta pengunduran sepenuhnya daripada operasi di India, yang dijangka membantu mengurangkan diskaun konglomerat terhadap penilaian IJM.
Apex Securities menambah, perniagaan pembinaan yang dipacu projek pusat data (DC) kini menjadi enjin pertumbuhan baharu kumpulan berkenaan, dengan buku tempahan mencecah sebanyak RM14.5 bilion dan peluang tawaran tender berjumlah RM18 bilion.
"Kira-kira 55% daripada buku tempahan pembinaan IJM di Malaysia kini terdiri projek industri dan DC, termasuk kemenangan projek DC berskala besar di Elmina Business Park, gudang semikonduktor ASRS di Kulim serta fasiliti Intuitive Surgical di Batu Kawan," katanya.
Menurut firma itu, buku tempahan kumpulan itu sebanyak RM14.5 bilion memberikan keterlihatan pendapatan sehingga FY29, dengan nisbah buku tempahan kepada pendapatan sebanyak 2.1 kali berbanding hasil pembinaan bagi FY26.
IJM juga sudah memperoleh RM1.8 bilion kontrak baharu setakat tahun ini, berbanding sasaran pengurusan sebanyak RM9 bilion bagi FY27, terdiri RM6 bilion di Malaysia dan RM3 bilion di luar negara, sekali gus meletakkan kumpulan pada landasan pertumbuhan sehingga FY28.

Peluang pertumbuhan turut disokong pembangunan taman perindustrian di Sedenak menerusi usaha sama (JV) bernilai RM1.96 bilion antara IJM Land, MOF Inc. dan Southern Catalyst, selain syarikat bersekutu JRL di Britain dan Hexacon di Singapura masing-masing menyumbang tambahan RM5 bilion dan RM2.2 bilion kepada buku tempahan.
"Penyenaraian IJMC secara kendiri yang disasarkan pada suku ketiga 2027 berpotensi memberikan penilaian berasingan kepada perniagaan pembinaan IJM, selain meningkatkan keterlihatan pendapatan kumpulan," tambah Apex Securities.
Dari segi operasi, kelebihan IJM bukan semata-mata bergantung kepada margin keuntungan, sebaliknya turut disokong integrasi menegak dan teknologi khusus. Bahagian industri merupakan segmen margin tertinggi dengan margin kasar 16.8%, disokong pengeluaran cerucuk sendiri yang turut menjadikannya antara pembekal cerucuk luaran terbesar di Malaysia.
Integrasi itu membolehkan IJM mengekalkan sebahagian margin yang biasanya dibayar kepada pihak ketiga serta mengurangkan kesan kenaikan kos input, manakala teknologi pratuang 'bubble deck' yang digunakan dalam projek RTS Link memberikan kelebihan khusus dalam segmen berkenaan.
Justeru, Apex Securities memulakan liputan terhadap IJM dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM3.48, berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOTP), di samping memberikan penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) tiga bintang.
"Bagaimanapun, penilaian semula masih terdedah kepada risiko kegagalan penukaran buku tender RM18 bilion kepada kontrak, kenaikan kos bahan binaan melebihi jangkaan serta risiko pelaksanaan program realisasi nilai RM3 bilion," jelasnya. - DagangNews.com






