Enam didakwa edar dadah ketika pesta hari lahir 

28 Aug 2026 • 2:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Enam didakwa edar dadah ketika pesta hari lahir 

TAWAU: Enam individu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin dan mengedar ekstasi dalam pesta hari lahir di sebuah rumah inap mewah di Taman Nordin, Jalan Kuhara, Rabu lalu. 

Semua tertuduh iaitu Lisyanti Ibrahim, 39; Andi Moh. Arifai Tatta, 29; Chang Vui Hiung, 28; Sherlin Liew Zi Ling, 25; Muhammad Haikal Daniel Azman, 22; dan Shazzreena, 20 mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki ketamin. 

Sementara bagi pertuduhan mengedar dadah jenis ekstasi, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa memiliki ketamin seberat 1.16 gram (g) dan mengedar dadah berbahaya jenis MDMA iaitu ekstasi seberat 659.16 gram di dalam sebuah rumah inap di Taman Nordin pukul 4.30 pagi, 26 Ogos lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati. 

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin kemudian menetapkan 18 September depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. 

Sebelum ini, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menyerbu rumah inap berkenaan pukul 4.30 pagi selepas menerima maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah.

Ketika serbuan, kesemua enam individu ditemukan berada di dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah yang dipercayai disewa bagi sambutan hari lahir.

Pemeriksaan di dalam bilik itu menemukan pinggan kaca mengandungi serbuk putih disyaki ketamin, sekeping kad dan sebatang rokok yang turut disyaki mempunyai kesan dadah berkenaan. –UTUSAN

The post Enam didakwa edar dadah ketika pesta hari lahir  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved