
TAWAU: Tiga pasangan, termasuk sepasang kekasih, yang ditangkap di sebuah rumah inap mewah untuk meraikan sambutan hari jadi, dituduh atas dua kesalahan, iaitu mengedar dadah jenis ekstasi dan memiliki ketamin, di Mahkamah Majistret, di sini, pada Jumaat.
Chang Vui Hiung, 28, Lisyanti Brahim, 39, Shazzreena, 20, Muhammad Haikal Daniel Azman, 22, Sherlin Liew Zi Ling, 25, dan Andi Moh Arifai Tatta, 29, dibacakan pertuduhan tersebut di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan mengedar MDMA (ekstasi) seberat 659.16 gram, di bawah Seksyen 39B (1)(a) AKta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat 12 kali jika tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, enam tertuduh mengaku bersalah memiliki 1.16 gram dadah jenis ketamine, mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di dalam bilik rumah tingkat bawah sebuah rumah inap mewah di Jalan Kuhara sekitar ham 4.30 pagi pada 26 Ogos.
Mahkamah menetapkan 18 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan kimia, serta menawarkan wang jaminan RM2,000 bagi setiap tertuduh bagi pertuduhan di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952.
Kesemua tertuduh warganegara tempatan terus ditahan memandangkan kes di bawah Seksyen 39B(1) (a) ADB merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Jeffrey Kadison, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan tiga pasangan terbabit direman empat hari sehingga 30 Ogos depan bagi membantu siasatan kes berkenaan, susulan penahanan mereka dalam serbuan di rumah inap mewah berkenaan.
Premis itu dipercayai disewa oleh salah seorang tertuduh wanita dengan kadar RM1,500 satu malam bagi meraikan sambutan hari jadi rakan mereka yang turut dituduh bersama.





