Energy Eco, 2 pemegang saham diperintah bayar RM1.08 juta kepada 2 pelabur

LocalBusiness & Finance
11 Sep 2026 • 3:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Energy Eco, 2 pemegang saham diperintah bayar RM1.08 juta kepada 2 pelabur Image from: Energy Eco, 2 pemegang saham diperintah bayar RM1.08 juta kepada 2 pelabur hamden11/09/2026 - 15:52

KUALA LUMPUR 11 Sept – Energy Eco Bhd dan dua pemegang saham utamanya diperintahkan membayar RM1.08 juta kepada dua pelabur selepas Mahkamah Tinggi membatalkan pembelaan mereka kerana gagal mematuhi perintah untuk mengemukakan dokumen.

 

Pesuruhjaya Kehakiman, Asmadi Hussin, mengarahkan Energy Eco, Tan Sri Mohd Daud Bakar dan Datuk Norliza Tajudin membayar jumlah itu secara bersama dan berasingan kepada Borneo Eduexcel Sdn Bhd dan Geomatika Sabahedu Sdn Bhd, lapor FMT.

 

Mahkamah turut mengarahkan faedah dan ganti rugi am dinilai serta memberikan kos berjumlah RM20,000.

 

Kedua-dua plaintif sebelum ini melabur RM1 juta dalam Energy Eco menerusi perjanjian pendahuluan pemegang saham pada April 2024 yang kononnya menawarkan pulangan 8% dalam tempoh enam bulan.

 

Bagaimanapun, selepas tempoh enam bulan berakhir, syarikat gagal membayar semula jumlah prinsipal serta pulangan yang dijanjikan.

 

Plaintif kemudian menyaman syarikat dan kedua-dua individu berkenaan atas dakwaan kecuaian serta salah nyata secara fraud.

 

Antara dakwaan plaintif ialah Norliza dan Daud telah menyatakan bahawa Energy Eco mempunyai lesen untuk mengutip deposit atau dana pelaburan.

 

Defendan bagaimanapun menafikan liabiliti dengan alasan pelaburan tersebut tertakluk kepada risiko, selain mendakwa Energy Eco berada dalam keadaan insolven dan oleh itu tidak mempunyai kewajipan membayar dividen atau keuntungan.

 

Bagaimanapun, mahkamah mendapati defendan gagal mematuhi perintah penzahiran dokumen yang dikeluarkan pada 25 Mei, yang menghendaki mereka mengemukakan beberapa dokumen termasuk penyata bank, butiran penandatangan akaun, senarai projek pengembangan perniagaan serta akaun pengurusan.

 

Defendan memberi alasan bahawa dokumen berkenaan tidak dapat dikemukakan kerana telah dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Januari.

 

Asmadi menolak alasan tersebut sebagai penjelasan yang munasabah, dengan menyatakan defendan boleh mendapatkan salinan dokumen daripada juruaudit atau setiausaha syarikat.

 

Beliau turut mendapati bahawa tidak semua dokumen yang diminta dalam perintah penzahiran telah dirampas oleh SPRM.

 

Malah, penyata bank yang dirampas hanya meliputi tahun 2022 dan 2023, sedangkan perintah penzahiran memerlukan dokumen bermula 2024 dan seterusnya.

 

Asmadi berkata defendan juga tidak memohon lanjutan masa untuk mematuhi perintah berkenaan.

 

Menurut beliau, surat kepada SPRM bagi mendapatkan dokumen tersebut hanya dikemukakan menerusi afidavit tambahan selepas plaintif memohon supaya pembelaan dibatalkan, ketika afidavit dan hujahan kedua-dua pihak telah pun ditukar.

 

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai usaha yang dibuat lewat, kira-kira empat bulan selepas perintah penzahiran dikeluarkan.

 

Asmadi turut berkata defendan tidak memberikan alasan munasabah atas kegagalan mereka mematuhi perintah mahkamah tersebut.

 

Susulan itu, pembelaan Energy Eco, Daud dan Norliza dibatalkan dan mahkamah memerintahkan mereka membayar RM1.08 juta kepada kedua-dua plaintif secara bersama dan berasingan.

 

Peguam Hariharan Tara Singh dan Tan Eng Seng mewakili Borneo Eduexcel serta Geomatika Sabahedu, manakala Nyat Kai Wen mewakili Energy Eco, Daud dan Norliza. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved