amree11/09/2026 - 15:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Sept – Straits Energy Resources Berhad menstrukturkan semula keseluruhan 500 juta saham anak syarikatnya, TMD Energy Limited (TMDEL), yang disenaraikan di bursa New York (NYSE).
Menurutnya, cadangan ini membabitkan penstrukturan semula saham biasa subsidirari itu kepada Kelas A dan Kelas B tanpa diubah jumlah modal saham dibenarkan mahupun jumlah saham diterbitkan dan berbayar.
Di bawah cadangan itu, modal saham dibenarkan TMDEL sebanyak AS$50,000 (RM203,412) yang mewakili 500 juta saham biasa akan distrukturkan kepada 400 juta saham Class A dan 100 juta saham Class B.
Bagi modal saham diterbitkan pula, 23.565 juta saham biasa sedia ada akan ditukar satu untuk satu kepada 13.565 juta saham Kelas A dan 10 juta saham Kelas B tanpa ada perubahan modal berbayar.
Straits Energy yang memiliki 65.08% kepentingan TMDEL akan memegang kesemua 10 juta saham Kelas B, yang memberikan 20 hak undi bagi setiap saham berbanding satu hak undi bagi setiap saham Kelas A.
"Susulan penstrukturan itu, kuasa mengundi dalam TMDEL dijangka meningkat daripada 65.08% kepada 96.15%, meskipun kepentingan ekonominya kekal pada 65.08%," maklumnya lagi kepada Bursa Malaysia.

Saham Kelas A akan terus didagangkan di NYSE dan tidak boleh ditukar kepada Kelas B, manakala pemegang Kelas B boleh menukar kepada Kelas A pada nisbah satu kepada satu tanpa bayaran tambahan.
Ujar Straits Energy, struktur dua kelas itu membolehkan TMDEL ada fleksibiliti menerbitkan saham Kelas A baharu bagi tujuan mendapatkan modal, skim insentif pekerja, atau keperluan korporat lain.
Cadangan itu juga dijangka membantu mengekalkan kesinambungan strategi pengurusan dan perniagaan TMDEL, selain penukaran saham jika hak undi tambahan tersebut tidak diperlukan pada masa hadapan.
"Dari sudut kewangan, penstrukturan itu tidak melibatkan penerbitan saham baharu atau bayaran tunai dan tidak mengubah kepentingan ekuiti Straits Energy dalam TMDEL," jelas kumpulan tersebut.
Di samping itu katanya, tiada sebarang kesan material dijangka terhadap pendapatan sesaham, nilai aset bersih sesaham dan penggearan atau nisbah hutang kumpulan berkenaan susulan langkah tersebut.
Cadangan berkenaan namun tertakluk kepada kelulusan pemegang saham TMDEL pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 7 Oktober 2026 serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan. - DagangNews.com






