Enggan pulangkan telefon bimbit punca suspek tikam rakan hingga maut - Polis

LocalPolitics
12 Mar 2026 • 1:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suspek kes tikam rakan kerana telefon bimbit dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Khamis untuk permohonan reman.
image is not available
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Khamis untuk permohonan reman.

MELAKA - Keengganan mangsa memulangkan telefon bimbit yang dipinjam dipercayai menjadi punca suspek gagal mengawal kemarahan sebelum menikam lelaki itu hingga maut dalam kejadian di sebuah rumah di Sungai Udang pada malam Rabu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek sebelum itu meminjamkan telefon bimbitnya kepada mangsa selepas telefon milik mangsa rosak.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun gagal memulangkan semula telefon berkenaan dan memberi pelbagai alasan apabila diminta berbuat demikian.

“Suspek kemudian beranggapan mangsa telah menjual telefon bimbit tersebut bagi mendapatkan wang untuk membeli bekalan dadah.

“Perkara itu menyebabkan suspek berang sebelum berlaku pertengkaran yang akhirnya membawa kepada kejadian tikaman hingga mengakibatkan mangsa meninggal dunia,” katanya pada Khamis.

**media[3461045]**

Sinar Harian pada Rabu melaporkan seorang lelaki berusia 25 tahun maut di beranda rumahnya dengan sekurang-kurangnya tiga kesan tikaman di dada kiri.

Suspek berusia 44 tahun bertindak melarikan diri selepas kejadian ke Plaza Sungai Udang kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian sebelum bersembunyi di dalam sebuah kereta milik orang awam.

Berdasarkan maklumat dan tindakan pantas polis, suspek berjaya dikepung dan ditahan di lokasi dengan bantuan orang awam bagi membantu siasatan.

Polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Semakan mendapati mangsa dan suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Khamis membenarkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 18 Mac ini.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.