
LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menggesa para pemain Arsenal untuk meneruskan prestasi terbaik serta melengkapkan minggu sempurna tiga perlawanan dengan kemenangan di tempat lawan menjelang aksi menentang Brighton malam ini.
Arsenal memulakan jadual padat selama tujuh hari dengan kemenangan liga 2-0 di tempat lawan menentang Sunderland, sebelum membelasah Ipswich Town 4-2 di Portman Road dalam pusingan ketiga Piala EFL.
Pasukan kendalian Arteta itu juga telah menewaskan Napoli 1-0 di tempat lawan dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara mereka pada minggu sebelumnya, menjadikan kunjungan ke Stadium Amex sebagai perlawanan keempat berturut-turut mereka di tempat lawan.
Arsenal telah memenangi setiap perlawanan kompetitif setakat musim ini, termasuk empat kemenangan dalam saingan liga selain Perisai Komuniti, Piala EFL dan Liga Juara-Juara.
“Minggu lalu sangat mencabar di Napoli, di Sunderland, kemudian menentang Ipswich. Tetapi, sekali lagi, sikap para pemain dan keinginan yang mereka tunjukkan. Itulah yang perlu kita lakukan, bangkit dan teruskan lagi,” katanya
Namun, Brighton turut memulakan musim mereka dengan baik apabila membelasah Coventry City 5-0 di CBS Arena dalam perlawanan liga terakhir mereka.
Pasukan kendalian Fabian Hurzeler itu juga membelasah Aston Villa 4-0 dalam perlawanan pembukaan mereka, sebelum tewas 4-3 kepada Chelsea dalam perlawanan penuh dramatik dan seri 1-1 dengan Leeds United yang masih belum tewas.
Brighton turut beraksi dalam Piala EFL pada pertengahan minggu, melakukan kebangkitan luar biasa daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Manchester United 3-2 di Old Trafford. – AGENSI
The post EPL: Arsenal mahu lengkapkan kemenangan appeared first on Kosmo Online.






