
LONDON – Arsenal bersedia memecahkan rekod perpindahan kelab untuk mendapatkan penyerang Atletico Madrid, Julian Alvarez sebelum jendela perpindahan antarabangsa ditutup secara rasmi pada 1 September depan.
Namun, pemain antarabangsa Argentina itu dilaporkan lebih berminat menyertai Barcelona berbanding kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus menjadikan usaha Arsenal untuk mendapatkan khidmatnya semakin rumit.
Sumber media tempatan memaklumkan Arsenal sudah melakukan gerak kerja untuk mendapatkan Alvarez sejak beberapa bulan lalu menerusi pengarah sukan, Andrea Berta.
Berta mempunyai kelebihan kerana pernah memegang jawatan sama di Atletico sebelum ini dan turut terlibat dalam perpindahan Alvarez dari Manchester City ke kelab Madrid itu pada 2024.
Kini, pengurusan The Gunners hanya menunggu isyarat positif sama ada daripada Alvarez atau Atletico bahawa perpindahan itu boleh direalisasikan sebelum membuat langkah rasmi.
Malah, Arsenal tiada masalah untuk memecahkan rekod perpindahan kelab sebanyak £105 juta (RM604 juta) yang dibayar kepada West Ham untuk mendapatkan Declan Rice pada 2023.
Atletico pula semakin terbuka untuk menjual Alvarez selepas mencetuskan ketegangan dengan penyokong ketika pasukan seri 2-2 bertemu Villarreal dalam aksi La Liga minggu lalu. – AGENSI
The post EPL: Arsenal siapkan pelan nekad appeared first on Kosmo Digital.





