
LONDON – Penyerang Chelsea, Joao Pedro membuktikan kesetiaan bersama pasukan itu apabila bersetuju menandatangani kontrak baharu yang akan menyaksikan dia terus kekal di Stamford Bridge sehingga 2032.
Kontrak baharu selama enam tahun itu sekali gus melenyapkan spekulasi dia akan meninggalkan The Blues dalam masa terdekat selepas ada desas-desus Pedro bakal berhijrah ke Sepanyol dan menyertai Barcelona.
Selain kontrak baharu, pemain Brazil itu turut menikmati kenaikan gaji selepas dia mempamerkan aksi cukup cemerlang bersama Chelsea pada saingan musim lalu biarpun pasukan itu agak bergelut.
Pedro menyuarakan rasa gembira atas perkembangan terbaharu itu dan dia turut melaungkan keyakinan The Blues berada pada landasan terbaik untuk kembali berada di kedudukan yang sepatutnya.
“Saya sangat gembira untuk meneruskan perjalanan saya bersama Chelsea. Bagi saya, pasukan ini memiliki cita-cita yang sangat tinggi dan saya mahu menjadi sebahagian daripada kejayaan tersebut.
“Kami sedang berada dalam fasa membina sesuatu yang hebat. Bagi saya, menyarung jersi Chelsea membuatkan saya seolah-olah berada di rumah sendiri dan saya tidak sabar untuk membantu pasukan,” katanya.
Sebagai rekod, Pedro menyertai Chelsea dari Brighton pada jendela perpindahan musim panas tahun lalu dengan nilai £54.5 juta (RM301.24 juta) dan dia berjaya meledak 23 gol selain melakukan sembilan umpanan dalam 53 penampilan. – AGENSI
The post EPL: Pedro akhiri spekulasi tinggalkan Chelsea appeared first on Kosmo Digital.






