johardy25/08/2026 - 07:00 Oleh Dr RAZLI RAMLI editor@dagangnews.com Dalam landskap kewangan global yang sering kali didorong oleh angka dan sasaran suku tahunan, institusi perbankan sering berhadapan dengan tekanan untuk memaksimumkan keuntungan.
Bagi bank konvensional, matlamat profit maximisation adalah doktrin asas yang diterima pakai secara meluas.
Namun, dari perspektif perbankan Islam, pendekatan ini memerlukan penelitian semula yang mendalam. Sebagai industri yang berpaksikan wahyu, kita perlu beralih daripada "memaksimumkan keuntungan" kepada "mengoptimumkan keuntungan" (profit optimisation).
Perkara ini telah disuarakan oleh Pengerusi BSN, Dato' Seri Dr Awang Adek Hussin dalam sesi perbincangan bersama Lembaga Pengarah, Penasihat Syariah dan pihak pengurusan BSN.

Menurut beliau, peralihan paradigma ini bukan sekadar retorik korporat, tetapi merupakan satu keperluan bagi memastikan kelestarian institusi dan kesejahteraan ummah secara menyeluruh.
Pengerusi BSN juga mengingatkan bahawa keuntungan tetap menjadi nadi kepada mana-mana entiti komersial. Tanpa keuntungan yang mampan, sebuah bank Islam tidak akan dapat melindungi kepentingan pendeposit, pemegang saham dan pelanggannya. Malah, keuntungan yang kukuh membolehkan bank terus berdaya saing dan relevan dalam pasaran yang mencabar.
Keuntungan bukan matlamat akhir
Dalam muamalat kewangan Islam, keuntungan bukanlah matlamat akhir (ultimate goal). Ia hanyalah satu daripada instrumen untuk menegakkan prinsip Syariah yang merangkumi keadilan, tanggungjawab dan kesejahteraan masyarakat.
Apabila keuntungan dijadikan satu-satunya kayu ukur kejayaan, kita berisiko terjebak dalam eksploitasi, pengambilan risiko yang melampau dan penciptaan kesukaran kepada pelanggan — sesuatu yang bertentangan dengan roh Islam itu sendiri.
Konsep profit optimisation membawa maksud mencapai tahap keuntungan yang sihat dan mampan, di samping mengambil kira impak keputusan bank terhadap pelbagai pihak berkepentingan.
Pendekatan ini sangat selari dengan prinsip Maqasid al-Shariah (Objektif Syariah). Jika kita meneliti lima teras Maqasid, iaitu perlindungan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, kita dapati bahawa usaha mengejar keuntungan tanpa batasan sering kali mengancam kelima-lima elemen ini.
Selanjutnya, pendekatan profit optimisation amat seiring dengan prinsip kepentingan umum dan menjauhi kemudaratan. Dalam membuat keputusan pembiayaan, pihak pembiaya tidak sepatutnya hanya melihat kepada kadar pulangan (rate of return) semata-mata.
Mereka perlu bertanya: "Adakah pembiayaan ini mewujudkan aktiviti ekonomi yang tulen? Adakah ia menyokong perniagaan pelanggan secara bertanggungjawab?"

Mengimbangi keuntungan dan tanggungjawab
Sekiranya pembiayaan itu hanya menguntungkan bank dalam jangka pendek tetapi membebankan pelanggan dalam jangka panjang, maka ia tidak menepati prinsip kepentingan umum. Kita mesti memastikan objektif komersial dilaksanakan seiring dengan tanggungjawab sosial dan pertimbangan etika.
Peralihan daripada memaksimumkan kepada mengoptimumkan keuntungan juga merupakan strategi terbaik untuk kelestarian jangka panjang sesebuah bank.
Tumpuan yang melampau terhadap keuntungan jangka pendek sering kali mendorong kepada penetapan harga yang agresif, pengambilan risiko yang tidak wajar (imprudent risk-taking) atau keputusan yang boleh menghakis kepercayaan pelanggan.
Sejarah krisis kewangan dunia telah membuktikan bahawa institusi yang mengejar keuntungan tanpa mengambil kira etika selalunya akan runtuh apabila keadaan ekonomi merosot.
Sebaliknya, pendekatan yang lebih seimbang membolehkan bank mengimbangi pulangan kewangan dengan daya tahan (resilience), kebajikan pelanggan dan kepentingan pemegang taruh yang lain.
Reputasi yang dibina atas kepercayaan dan tanggungjawab adalah aset yang jauh lebih berharga daripada keuntungan luar biasa dalam satu-satu suku tahunan.
Mentakrifkan semula kejayaan
Dalam konteks ini, kita mesti mentakrifkan semula apa itu "kejayaan" bagi institusi kewangan Islam.
Kejayaan sebenar bukanlah terletak pada jumlah dividen tertinggi semata-mata, tetapi pada keupayaan untuk mencapai rentabiliti yang mampan dan bertanggungjawab.
Kejayaan bererti prestasi kewangan yang selaras dengan pematuhan Syariah, kesejahteraan pemegang taruh dan manfaat kepada masyarakat.
Apabila keuntungan dilihat sebagai satu "wasilah" untuk mencipta nilai yang mampan dan bukannya matlamat akhir, barulah kita dapat melihat keberkatan (barakah) dalam operasi kita.
Ini adalah aspirasi yang harus kita bawa ke dalam bilik mesyuarat Lembaga Pengarah dan jawatankuasa pengurusan risiko.
Penilaian risiko perlu berubah
Peralihan ini juga menuntut perubahan yang signifikan dalam cara kita mengendalikan penilaian risiko (risk assessment).
Dalam kerangka tradisional, risiko sering dilihat sebagai sesuatu yang negatif yang perlu dielakkan atau diminimumkan.
Namun, dalam kerangka profit optimisation, risiko perlu dilihat sebagai sesuatu yang mesti difahami, diukur dan diurus dengan baik berdasarkan nilai yang ingin dicipta.
Pada pandangan penulis, penilaian risiko yang baik tidak seharusnya hanya memfokuskan kepada kemungkinan kerugian kewangan (probability of financial loss).
Ia mesti diperluaskan kepada impak terhadap pelanggan, pertimbangan Syariah, reputasi institusi, kelestarian alam dan nilai strategik jangka panjang sesuatu keputusan perniagaan.
Institusi kewangan Islam perlu bergerak ke arah penilaian risiko yang lebih holistik dan berpandangan jauh (forward-looking).
Setiap keputusan pembiayaan atau pelaburan perlu dinilai dari dua sudut, iaitu pulangan yang dijangkakan dan potensi kesan sampingannya.
Risiko yang mampan dan bertanggungjawab
Soalan utama yang perlu diajukan bukan lagi sekadar "Berapa banyak keuntungan yang boleh kita peroleh?", tetapi "Apakah tahap risiko yang boleh diterima untuk mencapai pulangan yang mampan dan bertanggungjawab?"
Pendekatan ini membolehkan bank mengenal pasti peluang yang membolehkan risiko munasabah menghasilkan manfaat ekonomi dan sosial yang bermakna, di samping mengelakkan risiko yang mungkin menimbulkan kemudaratan atau menjejaskan objektif Syariah.
Penulis lebih cenderung sekiranya penilaian risiko dijadikan lebih dinamik dan berorientasikan pelanggan (customer-centric).
Selama ini, kita mungkin terlalu bergantung kepada data kewangan sejarah dan klasifikasi risiko piawai. Walaupun aspek ini penting, institusi kewangan Islam perlu melangkah lebih jauh dengan mempertimbangkan keadaan sebenar pelanggan, prospek perniagaan mereka, kapasiti aliran tunai (cash flow) dan perubahan persekitaran ekonomi semasa.
Sebagai contoh, dalam situasi ekonomi yang mencabar, adakah kita terus mengklasifikasikan pelanggan sebagai "berisiko tinggi" dan menarik balik pembiayaan, atau adakah kita melihat daya tahan perniagaan mereka dan menawarkan rumusan yang adil berdasarkan prinsip kepentingan umum?
Dalam aspek operasi, penilaian risiko ini perlu dilengkapkan dengan pertimbangan yang lebih mendalam terhadap Maqasid al-Shariah.
Patuh Syariah bukan sekadar pada struktur
Kita harus membezakan antara risiko yang perlu ada untuk aktiviti ekonomi yang produktif, seperti risiko pasaran dalam perdagangan halal, dengan risiko yang timbul daripada tingkah laku berlebihan, spekulatif atau tidak bertanggungjawab, seperti gharar yang melampau dalam kontrak.
Sebagai pengamal, kita sering berhadapan dengan dilema apabila sesuatu produk secara teknikalnya patuh Syariah — tiada riba atau maysir yang jelas — tetapi dari sudut Maqasid, ia mungkin membebankan pelanggan.
Di sinilah kebijaksanaan pengurusan risiko berlandaskan nilai Islam diperlukan.
Secara praktikal, penilaian risiko yang lebih baik akan menyokong peruntukan modal (capital allocation) yang lebih berkualiti. Apabila bank mengambil risiko yang tepat, pada tahap yang tepat dan untuk tujuan yang tepat, maka pengoptimuman keuntungan akan tercapai secara semula jadi.
Keuntungan yang dioptimumkan adalah keuntungan yang diperoleh daripada pengambilan risiko yang setimpal dengan ganjarannya, di samping melindungi kepentingan pelanggan, pendeposit, pemegang saham dan masyarakat umum.
Kita tidak seharusnya takut untuk mengambil risiko dalam perniagaan kerana Islam menggalakkan usaha gigih (ikhtiar). Namun, kita dilarang mengambil risiko yang membawa kepada kemudaratan atau berpunca daripada kejahilan.
Ke arah kebitaraan kewangan Islam
Penulis percaya peralihan daripada memaksimumkan keuntungan kepada mengoptimumkannya adalah satu langkah ke arah kebitaraan terunggul bagi industri kewangan Islam di Malaysia.
Ia mencerminkan kematangan kita dalam memahami bahawa kewangan Islam bukan sekadar "tiada riba", tetapi merupakan sistem komprehensif yang bertujuan menegakkan keadilan sosial dan ekonomi.
Sebagai pengamal yang telah berpuluh-puluh tahun berkecimpung dalam bidang ini, penulis melihat cadangan ini bukan sebagai satu ancaman kepada rentabiliti atau keuntungan, tetapi sebagai satu pelaburan untuk reputasi dan kelestarian masa depan.

Penulis menyeru semua penggubal dasar, pengurusan bank dan ahli akademik agar menjadikan konsep profit optimisation ini sebagai teras dalam perancangan strategik kita.
Marilah kita membina institusi kewangan yang bukan sahaja kukuh dari sudut neraca kewangannya, tetapi juga kukuh dari sudut etika dan sumbangannya kepada masyarakat. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM







