EPMB perkukuh kerjasama Proton menerusi fasiliti casis baharu

Business & Finance
19 Aug 2026 • 3:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: EPMB perkukuh kerjasama Proton menerusi fasiliti casis baharu

PETALING JAYA: EP Manufacturing Berhad (EPMB) memperkukuh kerjasama strategiknya dengan Proton menerusi pembukaan rasmi fasiliti pemasangan komponen casis baharu di Automotive High Technology Valley (AHTV), Tanjong Malim, Perak.

Fasiliti di bawah Peps Sanly JV Sdn. Bhd. (Peps Sanly JV), syarikat usaha sama EPMB dengan Sanly Auto Parts Co Ltd (Sanly China), dibangunkan bagi menghasilkan komponen kritikal untuk model terpilih Proton.

Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, pembukaan fasiliti itu menandakan kesinambungan kerjasama strategik syarikat dengan Sanly China selepas pemeteraian usaha sama berkenaan pada Februari 2025.

Katanya, kerjasama itu bertujuan memperkukuh rantaian bekalan EPMB menerusi kepakaran Sanly China dalam kerja logam, pemasangan dan sistem casis automotif.

“Ia juga sejajar dengan inisiatif strategik Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam menggalakkan pemindahan teknologi dan memperkukuh keupayaan pembuatan tempatan.

“Lebih penting, menerusi usaha sama ini, EPMB dan Sanly kini merupakan satu-satunya syarikat usaha sama yang memberi tumpuan kepada sistem casis automotif di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Fasiliti berkenaan dibangunkan dengan pelaburan RM9.5 juta di atas tanah seluas 9,909 meter persegi dan mula beroperasi pada Oktober 2025.

Ia mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 40,000 set kenderaan sebulan atau sehingga 480,000 set setahun.

Fasiliti itu akan melaksanakan pengeluaran tempatan bagi pemasangan modul front corner modul subframe dan modul gandar belakang untuk model AMA01, Persona dan Iriz, selain model AMA02 dan AMA05 Proton yang akan datang.

Pada Februari 2025, EPMB mengumumkan pemeteraian usaha sama dengan Sanly China menerusi Peps Sanly JV bagi melaksanakan pengeluaran tempatan komponen pemasangan modul front corner, subframe dan gandar belakang untuk Proton Saga AMA01.

Hamidon berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen EPMB untuk memperkukuh keupayaan pembuatan automotif tempatan, selain meningkatkan kecekapan kos dan kualiti bagi pengeluar peralatan asal (OEM).

Jelasnya, kerjasama dengan Sanly yang mempunyai hubungan kukuh dengan Geely dan beberapa OEM lain dari China turut memberi EPMB pendedahan langsung kepada ekosistem pembuatan maju serta struktur kos kompetitif negara itu.

“Kelebihan berkenaan membolehkan EPMB menyokong Proton menerusi kecekapan kos yang lebih baik dan jaminan kualiti yang lebih kukuh.

“Kerjasama ini juga menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam hubungan kami dengan Proton yang telah terjalin hampir empat dekad.

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Proton dalam merealisasikan sasaran pertumbuhan serantaunya serta pelan hala tuju kenderaan elektrik (EV) dan menantikan kejayaan berterusan bersama pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

The post EPMB perkukuh kerjasama Proton menerusi fasiliti casis baharu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved