hamden19/08/2026 - 12:54 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Ogos - EP Manufacturing Bhd (EPMB) membuka kilang pemasangan komponen casis baharu bernilai RM9.5 juta di Automotive High Technology Valley (AHTV), Tanjung Malim, Perak bagi menyokong pengeluaran model terpilih Proton.
Kemudahan di bawah usaha sama EPMB dengan Sanly Auto Parts Co Ltd dari China, Peps Sanly JV Sdn Bhd itu dibangunkan di atas kawasan seluas 9,909 meter persegi dan mula beroperasi pada Oktober 2025.
Kilang itu mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 40,000 set kereta sebulan, atau sehingga 480,000 set setahun.
Ia akan menjadikan pemasangan komponen modul penjuru hadapan, modul subbingkai dan modul gandar belakang bagi model Proton AMA01, Persona, Iriz, serta model AMA02 dan AMA05 yang bakal dilancarkan sebagai pengeluaran tempatan.
Pembukaan kilang tersebut mengukuhkan lagi kerjasama strategik EPMB dengan Proton yang telah berlangsung hampir empat dekad, selain memperkukuh keupayaan pembuatan komponen automotif tempatan.
Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah, berkata kemudahan itu mencerminkan kesinambungan kerjasama strategik dengan Sanly China yang bermula secara rasmi pada Februari 2025.
Menurut beliau, kerjasama itu bertujuan membina rantaian bekalan EPMB yang lebih kukuh dan cekap dengan memanfaatkan kepakaran Sanly China dalam kerja logam, pemasangan serta sistem casis automotif termaju.
Beliau berkata usaha sama itu selaras dengan inisiatif strategik MITI dan MIDA bagi menggalakkan pemindahan teknologi serta meningkatkan keupayaan pembuatan tempatan.
Menerusi usaha sama itu, EPMB dan Sanly kini menjadi satu-satunya syarikat usaha sama yang mengkhusus dalam sistem casis automotif di Malaysia, katanya.
Kerjasama dengan Sanly yang mempunyai hubungan kukuh dengan Geely dan OEM China lain turut memberikan EPMB pendedahan langsung kepada ekosistem pembuatan termaju China serta struktur kos yang kompetitif.
Menurut Hamidon, kelebihan itu membolehkan EPMB menyokong Proton menerusi kecekapan kos dan jaminan kualiti yang lebih tinggi.
Beliau berkata pembukaan kemudahan tersebut merupakan satu lagi langkah dalam hubungan hampir 40 tahun EPMB dengan Proton, ketika pengeluar kereta nasional itu mengejar sasaran pertumbuhan serantau dan pelan hala tuju kenderaan elektrik (EV).
Usaha sama EPMB-Sanly yang dimeterai pada Februari 2025 pada asalnya bertujuan menjadi pengeluaran komponen casis bagi Proton Saga AMA01 sebagai pengeluaran tempatan, dan kini diperluaskan kepada beberapa model lain. - DagangNews.com






