Eppendorf dari Jerman labur RM190 juta bina kilang pembuatan pertama Asia Tenggara di Pulau Pinang

LocalBusiness & Finance
13 Nov 2026 • 10:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Eppendorf dari Jerman labur RM190 juta bina kilang pembuatan pertama Asia Tenggara di Pulau Pinang Image from: Eppendorf dari Jerman labur RM190 juta bina kilang pembuatan pertama Asia Tenggara di Pulau Pinang liza13/11/2026 - 10:59 Pembinaan projek itu disasarkan selesai menjelang akhir 2027 - Gambar FB Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov – Syarikat teknologi sains hayat dari Jerman, Eppendorf SE melabur kira-kira RM190 juta untuk membangunkan kilang pembuatan pertamanya di Asia Tenggara di Taman Teknologi Bandar Cassia, Pulau Pinang.

 

Pelaburan itu adalah satu lagi inisiatif peluasan rangkaian pengeluaran global syarikat berkenaan dengan kilang tersebut dijangka memulakan operasi secara berperingkat pada 2028 dan menyediakan kira-kira 130 peluang pekerjaan menjelang akhir 2029.

 

Majlis pecah tanah projek itu disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, bersama Pengerusi Lembaga Penyeliaan Eppendorf, Philipp von Loeper dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dr Christine Munz.

 

Projek berkenaan menyusuli pemeteraian perjanjian pajakan dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada Julai 2026.

 

Hasilkan peralatan saintifik untuk pasaran global

Kemudahan baharu itu akan mengeluarkan produk terpilih daripada portfolio Centrifuges & Instruments Eppendorf bagi memenuhi keperluan makmal dan tempat kerja saintifik di seluruh dunia.

 

Tapak projek berkenaan meliputi kawasan seluas kira-kira 522,049 kaki persegi, dengan keluasan binaan sekitar 172,222 kaki persegi merangkumi kawasan pengeluaran, pergudangan, pejabat, fungsi berkaitan kualiti serta operasi logistik.

 

Chow berkata, pelaburan itu akan memperluas landskap pembuatan Pulau Pinang, selain menyokong usaha kerajaan negeri mempelbagaikan asas perindustrian kepada sektor bernilai tinggi, khususnya peralatan saintifik dan pengukuran.

 

Beliau berkata, projek berkenaan turut menyokong usaha negeri membangunkan ekosistem perindustrian bernilai tinggi.

 

Perkukuh ekosistem sains hayat dan teknologi perubatan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pelaburan tersebut mencerminkan kedudukan Malaysia yang semakin berkembang sebagai destinasi pembuatan berteknologi tinggi dan bernilai tambah.

 

Katanya, kemudahan itu selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), selain berupaya memperkukuh ekosistem sains hayat dan teknologi perubatan negara.

 

Beliau berkata, projek berkenaan turut menyokong pewujudan pekerjaan berkemahiran, pembangunan pembekal tempatan serta integrasi Malaysia dalam rantaian nilai global.

 

Projek pembuatan baharu pertama dalam tempoh lebih 50 tahun

Dalam pada itu, Munz berkata, pelaburan di Pulau Pinang merupakan sebahagian daripada strategi Eppendorf untuk meningkatkan keupayaan inovasi serta menjadikan kapasiti pengeluaran globalnya lebih berdaya tahan.

 

Beliau berkata, projek berkenaan merupakan pembukaan kemudahan kilang pembuatan baharu dari peringkat awal (greenfield) yang pertama bagi syarikat itu dalam tempoh lebih 50 tahun.

 

Menurutnya, kemudahan di Pulau Pinang akan menjadi salah satu tonggak penting dalam rangkaian pembuatan global kumpulan, selain meningkatkan daya saing dan fleksibiliti perniagaan Centrifuges & Instruments.

 

Pembinaan projek itu disasarkan selesai menjelang akhir 2027, sebelum pemasangan peralatan pengeluaran dan peningkatan kapasiti operasi dilaksanakan secara berperingkat sehingga 2030.

 

Terapkan ciri kelestarian dalam pembangunan kilang

Eppendorf turut menerapkan beberapa ciri kelestarian dalam pembangunan kemudahan berkenaan, termasuk sistem bangunan cekap tenaga, panel solar fotovoltaik, kemudahan pengecasan kenderaan elektrik serta sistem takungan air.

 

Syarikat itu juga merancang mendapatkan pensijilan Leadership in Energy and Environmental Design (LEED) Gold bagi kemudahan berkenaan. Eppendorf telah beroperasi di Malaysia selama lebih tiga dekad menerusi penubuhan pejabatnya di Kuala Lumpur pada 1995.

 

Pelaburan di Pulau Pinang itu akan memperluas operasi komersial dan pentadbiran sedia ada syarikat kepada aktiviti pembuatan, sekali gus mewujudkan pangkalan pengeluaran di Asia Tenggara selain rangkaian pembuatan sedia ada di Eropah dan Amerika Syarikat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved