Malaysia raih jualan eksport RM791.5 juta di Pameran Udara Antarabangsa Farnborough 2026 - MATRADE

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2026 • 5:09 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia raih jualan eksport RM791.5 juta di Pameran Udara Antarabangsa Farnborough 2026 - MATRADE Image from: Malaysia raih jualan eksport RM791.5 juta di Pameran Udara Antarabangsa Farnborough 2026 - MATRADE hamden06/08/2026 - 17:09 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Malaysia menjana potensi jualan eksport berjumlah RM791.54 juta menerusi penyertaannya di Pameran Udara Antarabangsa Farnborough (FIA) 2026 di United Kingdom, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pemain industri global terhadap keupayaan sektor aeroangkasa negara.

 

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata, sepanjang pameran yang berlangsung dari 20 hingga 24 Julai 2026, Pavilion Malaysia berjaya memudah cara 148 mesyuarat perniagaan melibatkan syarikat tempatan dengan pemain industri aeroangkasa antarabangsa.

 

Pavilion Malaysia yang diselaraskan MATRADE dengan kerjasama National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia) menghimpunkan 15 syarikat pempamer tempatan bersama Invest Selangor Berhad dan Malaysia Aerospace Industry Association (MAIA).

 

Penyertaan itu menampilkan keupayaan syarikat Malaysia dalam pelbagai segmen strategik termasuk pembuatan struktur aero, pemesinan ketepatan, kemasan aeroangkasa, reka bentuk elektronik dan perkakasan, penyelesaian pembuatan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), perkhidmatan penerbangan serta pengurusan acara aeroangkasa.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata, pencapaian komersial yang direkodkan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan pembuatan aeroangkasa dan rantaian bekalan yang diyakini di peringkat global.

 

Beliau berkata, industri aeroangkasa negara menjana hasil sebanyak RM32.5 bilion pada 2025 dengan eksport menyumbang RM7.95 bilion, bersamaan 24.5% daripada keseluruhan hasil industri.

 

"Ketika negara berusaha mencapai sasaran Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) 2030 sebanyak RM55.2 bilion hasil industri, pengembangan eksport bernilai tinggi akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan selain sektor pembuatan aeroangkasa domestik, MRO, integrasi sistem dan perkhidmatan kejuruteraan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut beliau, FIA 2026 turut membuka peluang kepada syarikat Malaysia untuk menyertai program bernilai lebih tinggi, memperkukuh kerjasama dengan pengeluar peralatan asal (OEM) global serta mengembangkan penyertaan dalam rantaian bekalan antarabangsa.

 

Katanya, MATRADE akan terus memperluaskan akses pasaran kepada syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi meningkatkan kehadiran mereka di pasaran eksport.

 

Dalam perkembangan berkaitan, CTRM Aero Composites Sdn. Bhd., anak syarikat CTRM Holdings Sdn. Bhd., menerima Anugerah Asia Best Maturity 2026 pada Aero Excellence International Best Maturity Awards selepas mencapai Tahap Kematangan Gangsa di bawah Aero Excellence Industrial Assessment Programme.

 

Pengiktirafan itu memperkukuhkan reputasi Malaysia dalam aspek keupayaan pembuatan, standard operasi dan daya tahan rantaian bekalan, sekali gus meningkatkan keyakinan syarikat aeroangkasa global terhadap industri tempatan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved