
KUALA LUMPUR – Sebuah rumah teres dua tingkat di berhampiran Surau At Taqwa, Jalan Murni 10, Alam Damai, Cheras, musnah dalam kebakaran awal pagi, semalam.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sekitar pukul 5 pagi sebelum menggerakkan pasukan bomba ke lokasi.
Operasi membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras dengan bantuan BBP Sungai Besi dan BBP Bandar Tun Razak dengan kekuatan 22 anggota.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat.
“Pemeriksaan mendapati kemusnahan akibat kebakaran dianggarkan 100 peratus.
“Kebakaran dipercayai bermula daripada sebuah kenderaan elektrik (EV) yang sedang dicas di bahagian foyer rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, jelasnya, kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa.
Operasi pemadaman dan pemeriksaan keselamatan tamat sepenuhnya pada pukul 6.41 pagi. – KOSMO! ONLINE
The post EV sedang dicas punca rumah terbakar appeared first on Kosmo Digital.






