
GEORGE TOWN – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang bersetuju mengekalkan Exco Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan negeri, selaras dengan persefahaman kerjasama yang dicapai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.
Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan dalam mesyuarat PH negeri hari ini yang turut menumpukan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Mesyuarat hari ini juga mencapai kesepakatan untuk mengekalkan Exco BN dalam pentadbiran kerajaan negeri, sebagaimana persefahaman kerjasama atau electoral pact yang terjalin dalam Pilihan Raya Negeri pada tahun 2023.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan Pulau Pinang kekal sebagai benteng kukuh PH, simbol keyakinan rakyat, dan kubu yang mesti terus diperkukuh. Dari Pulau Pinang, kita perlu mencetuskan gelombang baharu yang mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PH di seluruh negara,” katanya selepas mesyuarat PH Pulau Pinang di Wisma DAP, di sini hari ini.
Untuk rekod, pentadbiran Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang ketika ini turut disertai seorang wakil UMNO dalam barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) iaitu Datuk Rashidi Zinol yang memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan. – KOSMO! ONLINE
The post Exco BN kekal dalam Kerajaan P. Pinang appeared first on Kosmo Digital.






