Exco tetap masuk pejabat, teruskan tugas seperti biasa

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 10:44 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Exco tetap masuk pejabat, teruskan tugas seperti biasa

SEREMBAN – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan tetap hadir ke pejabat dan meneruskan tugasan seperti biasa hari ini, susulan kenyataan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, bahawa barisan Exco sedia ada masih sah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Razali Abu Samah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan (Adun) Sikamat, berkata beliau meneruskan urusan rasmi seperti biasa hari ini.

“Saya masuk ke pejabat seperti biasa pada pagi ini, tengah hari ada lawatan dan menziarahi kematian,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Sementara itu, menerusi pegawai kepada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Suhaimizan Bizar yang juga Adun Gemencheh, turut hadir menjalankan tugas seperti biasa.

“Ya. YB (Yang Berhormat) akan masuk petang nanti, pagi ini beliau berada di kawasan,” katanya.

Semalam, Ismail menegaskan tiada keperluan untuk mengemukakan senarai Exco baharu kerana barisan Exco sedia ada masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa.

Beliau berkata pendirian itu dibuat berdasarkan tafsiran perundangan serta sempadan kuasa eksekutif di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, khususnya berhubung kedudukan dan tempoh perjawatan Exco.

Beliau berkata sistem pentadbiran Negeri Sembilan berteraskan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, dengan kuasa Kedaulatan Raja dalam hal pentadbiran negeri hendaklah dijalankan atas nasihat Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Terdahulu, 10 Exco Kerajaan Negeri Sembilan dibatalkan jawatan berkuat kuasa serta-merta selepas didakwa melanggar sumpah memegang jawatan yang dilafazkan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, Tuanku Muhriz ibni Tuanku Munawir, pada 7 Ogos 2026.

Menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.

Pemansuhan jawatan itu berlaku selepas kesemua 10 Exco berkenaan didakwa melakukan penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Besar apabila menandatangani proklamasi untuk menyingkirkan baginda daripada takhta.

Mereka ialah Datuk Mohd Faizal Ramli yang memegang portfolio Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah; Datuk Mustapha Nagoor (Pembangunan Belia dan Sukan); Datuk Zaifulbahri Idris (Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan) serta Siow Kong Choon (Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam).

Turut terlibat ialah Siti Nur Umaira Hasim (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Mohd Asna Amin (Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup), Suhaimizan Bizar (Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO)).

Dua lagi ialah Mohd Fairuz Mohd Isa (Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan) serta Datuk Razali Abu Samah (Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan).- KOSMO! ONLINE

The post Exco tetap masuk pejabat, teruskan tugas seperti biasa appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved