F1 Malaysia Grand Prix Bahrain – Tarikh, Info Tiket & Fakta Menarik

27 Jul 2026 • 9:01 AM MYT
eCentral
eCentral

Portal rujukan nombor #1 Malaysia. Kini lebih 30 juta capaian sebulan!

Selepas hampir sedekad menyepi, Formula 1 bakal kembali menggegar Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC).

Malaysia telah dipilih sebagai tuan rumah rasmi bagi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober 2026.

Ramai yang dah teruja beli tiket bagi menyaksikan perlumbaan ini walaupun belum ada lagi makluman rasmi mengenai harga dan cara pembelian tiket. Ada yang dah siap book hotel area Sepang lagi!

Jom rujuk perincian lebih mengenai F1 Malaysia Grand Prix Bahrain di bawah.

Apa Itu F1 Malaysia Grand Prix Bahrain?

F1 Malaysia Grand Prix Bahrain ialah perlumbaan Formula 1 di mana Malaysia menjadi “tuan rumah” (host) untuk perlumbaan negara Bahrain bagi musim 2026.

Sukan F1 sepatutnya diadakan di litar Bahrain, tetapi terpaksa dipindahkan ke Litar Sepang pada 2 hingga 4 Oktober 2026 atas faktor keselamatan ekoran pergolakan di Timur Tengah.

Sekaligus, menandakan kepulangan semula perlumbaan Formula 1 ke Litar Sepang buat kali pertama sejak kali terakhir Malaysia menganjurkannya pada tahun 2017.

Rujuk siaran media Kementerian Belia dan Sukan di bawah:

 F1 Malaysia Grand Prix Bahrain
Sumber: Facebook KBSMalaysia
 F1 Malaysia Grand Prix Bahrain
Sumber: Facebook KBSMalaysia
Mengapa GP Bahrain Diadakan di Litar Sepang Malaysia?

Grand Prix (GP) Bahrain 2026 dipindahkan ke Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) di Malaysia disebabkan oleh faktor keselamatan ekoran pergolakan ketenteraan dan konflik serantau yang sedang melanda rantau Timur Tengah.

Walaupun berlangsung di Malaysia, perlumbaan ini akan mengekalkan nama rasmi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix.

Tarikh Penting F1 Malaysia Grand Prix Bahrain 2026

Tarikh rasmi bagi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia adalah dari 2 hingga 4 Oktober 2026 di PETRONAS Sepang International Circuit.

Perlumbaan di Sepang ini merupakan sebahagian daripada siri triple-header (tiga minggu perlumbaan berturut-turut) Asia yang sangat padat:

  • 20 – 22 September 2026: Grand Prix Azerbaijan
  • 2 – 4 Oktober 2026: Grand Prix Bahrain (Sepang, Malaysia)
  • 9 – 11 Oktober 2026: Grand Prix Singapura
F1 Malaysia Grand Prix Bahrain 2026
Sumber: f1

Harga dan Cara Beli Tiket F1 Malaysia Grand Prix Bahrain 2026

Tiket rasmi untuk F1 Grand Prix Bahrain di Litar Sepang masih belum dijual secara rasmi.

Pihak pengurusan F1 mengesahkan bahawa maklumat lanjut mengenai tarikh jualan, platform ejen rasmi, dan harga tiket di Malaysia akan diumumkan dalam masa terdekat.

Maklumat ini akan dikemaskini dari masa ke semasa.

Fakta Mengenai F1 Malaysia Grand Prix Bahrain

1. Pembiayaan Dikongsi dan Ditanggung Bahrain

Walaupun perlumbaan dialihkan ke Malaysia, pihak kerajaan Bahrain dilaporkan menanggung sebahagian besar kos penganjuran dan yuran lesen semula perlumbaan tersebut.

Hal ini membolehkan Malaysia menjadi tuan rumah tanpa perlu memikul beban kewangan yang berat, manakala Bahrain dapat mengekalkan hak penganjuran serta penajaan utama menerusi syarikat penerbangan nasional mereka, Gulf Air.

2. Kepulangan Bersejarah F1 ke Litar Sepang Sejak 2017

Kali terakhir Litar Sepang menganjurkan perlumbaan Formula 1 adalah pada tahun 2017 sebelum Malaysia memutuskan untuk menamatkan kontrak penganjuran akibat kos yang tinggi.

Kepulangan semula F1 ke Sepang pada tahun 2026 ini pastinya mengubati rindu peminat tempatan untuk menyaksikan F1.

3. Logistik Sempurna “Triple-Header”

Sepang dipilih kerana memenuhi kriteria logistik yang sangat strategik. Perlumbaan ini terletak di tengah-tengah jadual padat Asia.

Bermula di Azerbaijan (Baku), singgah di Malaysia (Sepang), dan terus ke Singapura (Marina Bay) dalam masa tiga minggu berturut-turut.

Kedudukan Sepang yang bersebelahan KLIA memudahkan urusan kargo.

4. Sejarah Baharu F1 (Nama Kekal, Lokasi Berubah)

Ini adalah kali pertama dalam sejarah F1 moden di mana perlumbaan kekal menggunakan nama asal sesebuah negara (Bahrain) tetapi dijalankan sepenuhnya di litar negara lain (Malaysia).

Segala hak penajaan utama komersial kekal milik syarikat penerbangan nasional Bahrain, Gulf Air.

5. Impak Ekonomi Serta-merta Tanpa Tempoh Persediaan Lama

Kebiasaannya, sesebuah negara memerlukan masa bertahun-tahun untuk membida dan membuat persiapan logistik bagi menganjurkan F1.

Namun, disebabkan status Litar Sepang yang sedia ada sebagai litar Gred 1 FIA dan aktif menganjurkan MotoGP, Malaysia dijangka mampu menerima kemasukan mengejut ini dengan pantas.

Pihak hotel, restoran, dan pengangkutan di sekitar KLIA serta Kuala Lumpur dijangka menerima limpahan ekonomi luar biasa dalam tempoh singkat.

Maklumat Lanjut & Soalan Lazim F1 Malaysia Grand Prix Bahrain

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan ino terkini mengenai F1 Grand Prix Bahrain di Sepang akan datang, anda boleh merujuk kepada saluran-saluran rasmi berikut:

  1. Laman web F1: https://www.formula1.com/
  2. Laman web Litar Sepang: https://www.sepangcircuit.com/
Bila perlumbaan ini akan berlangsung?

Pada hujung minggu, 2 hingga 4 Oktober 2026 (Jumaat hingga Ahad)

Di mana perlumbaan ini dibuat?

Di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC), Selangor (bersebelahan dengan Lapangan Terbang KLIA).

Kenapa namanya “Bahrain Grand Prix” tetapi dibuat di Malaysia?

Ini bagi menghormati kontrak komersial, hak penamaan, dan penaja utama (Gulf Air) yang dimiliki oleh pihak penganjur Bahrain. Bahrain terpaksa memindahkan lokasi atas faktor keselamatan ekoran konflik ketenteraan di Timur Tengah.

Di mana saya boleh beli tiket dan berapakah harganya?

Tiket belum mula dijual. Jualan tiket asal di Bahrain telah dihentikan sementara. Pihak F1 dan pengurusan Litar Sepang akan mengumumkan sistem tiket baharu khusus untuk tempat duduk di Sepang tidak lama lagi.

Bolehkah saya pergi ke Litar Sepang naik pengangkutan awam?

Boleh. Pada minggu perlumbaan besar seperti ini, pihak pengurusan biasanya akan menyediakan perkhidmatan bas ekspres khas dari pusat bandar (seperti KL Sentral) dan dari stesen MRT/LRT terdekat terus ke pintu masuk litar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved