hamden14/09/2026 - 09:38 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Sept - Penganjuran Formula 1 (F1) di Sepang bulan depan mampu memberi suntikan sehingga RM1.3 bilion kepada ekonomi negara, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Firma penyelidikan itu menganggarkan penganjuran Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober 2026 mampu menjana antara RM1.1 bilion hingga RM1.3 bilion kepada ekonomi, selain memberi rangsangan kepada sektor berkaitan pelancongan serta menyokong lebihan akaun semasa.
Menurut HLIB, anggaran itu dibuat berdasarkan perbelanjaan purata sekitar RM8,879 bagi setiap pelancong yang menghadiri F1, mengambil kira profil penonton sukan berkenaan yang lazimnya terdiri daripada golongan berpendapatan tinggi.
Golongan penonton F1 secara purata berbelanja antara 1.5 hingga 3.6 kali ganda lebih tinggi berbanding pelawat biasa, sekali gus menjadikan acara itu pemangkin berpotensi besar kepada aktiviti ekonomi domestik.
“Populariti F1 yang kukuh di peringkat global, digabungkan dengan tempoh penganjuran yang menggalakkan, dijangka mendorong kehadiran yang tinggi, manakala beban kewangan Malaysia yang agak rendah mengukuhkan rasional untuk menjadi tuan rumah,” katanya dalam nota penyelidikan.
SIC akan menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain yang dijadualkan semula sebagai perlumbaan gantian berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Perlumbaan itu juga menandakan kemunculan semula F1 di Malaysia buat kali pertama sejak 2017.
Peluang Ekonomi Lebih Baik
HLIB berkata penganjuran kali ini menawarkan ekonomi yang lebih menarik berbanding tempoh Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan F1 bagi musim penuh antara 1999 hingga 2017.
Ini kerana Bahrain akan menanggung yuran hak F1 berjumlah RM285 juta hingga RM326 juta, manakala kos Malaysia dihadkan kepada kira-kira RM40 juta bagi persiapan tempatan, menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman.
“Di bawah pengaturan semasa, Bahrain akan menerima semua hasil jualan tiket, manakala Malaysia akan mendapat manfaat daripada limpahan perbelanjaan pelancongan,” kata firma itu.
Malaysia sebelum ini menghentikan penganjuran Grand Prix Malaysia selepas 2017 berikutan peningkatan kos serta kemerosotan minat dan jualan tiket.
Namun, populariti F1 di peringkat global meningkat dengan ketara sejak itu, khususnya selepas Liberty Media mentransformasikan sukan tersebut menjadi jenama media dan hiburan global susulan pengambilalihannya pada 2017.
HLIB berkata jumlah kehadiran global meningkat daripada kira-kira 4.2 juta pada 2019 kepada rekod 6.7 juta pada 2025.
Kesemua 11 perlumbaan F1 pada separuh pertama 2026 juga telah habis terjual, mencerminkan permintaan yang kukuh terhadap sukan berkenaan.
Penganjuran Serentak Dengan Minggu Emas Hari Kebangsaan China
Dalam pada itu, perlumbaan di Sepang akan berlangsung serentak dengan Minggu Emas Hari Kebangsaan China serta kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut HLIB, faktor tersebut berpotensi meningkatkan kehadiran pelawat berbelanja tinggi, khususnya dari China.
Pelancong China membelanjakan purata RM6,291 seorang pada 2024, lebih tinggi berbanding RM3,753 bagi pelancong dari negara lain.
Malaysia juga dijangka mendapat manfaat sebagai satu-satunya negara ASEAN selain Singapura yang menjadi tuan rumah perlumbaan F1, sekali gus mengurangkan risiko kehadiran penonton terbahagi kepada beberapa lokasi perlumbaan di rantau ini.
Firma penyelidikan itu berkata penganjuran Grand Prix Bahrain turut dijangka memberikan sokongan tambahan kepada industri berkaitan pelancongan, seterusnya menyumbang kepada perdagangan perkhidmatan dan lebihan akaun semasa.
“Yang ketara, penerimaan daripada sektor perjalanan merupakan penyumbang kedua terbesar kepada lebihan akaun semasa selepas barangan,” katanya.
HLIB turut menyatakan sektor berkaitan pelancongan merangkumi sekitar 30% daripada pekerjaan formal di Malaysia.
Justeru, limpahan ekonomi daripada perlumbaan itu berpotensi menyokong peluang pekerjaan dan pendapatan isi rumah, meskipun tahap upah dalam segmen peruncitan serta makanan dan minuman kekal agak rendah.
“Momentum positif ini seterusnya berpotensi menyokong peningkatan kualiti perkhidmatan dan pengekalan pekerja dalam sektor yang berdepan secara langsung dengan pelanggan, sekali gus mengukuhkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan menggalakkan perbelanjaan pelawat yang lebih tinggi,” katanya. - DagangNews.com





