
SHAH ALAM, 1 OKT: Tourism Selangor menganjurkan pelbagai aktiviti menarik sempena Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi mengetengahkan produk makanan, kebudayaan dan pelancongan negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata pihaknya bekerjasama dengan Mitsui Outlet Park KLIA Sepang (MOP KLIA) dan IOI City Mall bagi memanfaatkan kehadiran pengunjung ke acara sukan antarabangsa itu.
Menurutnya, kedua-dua lokasi dipilih kerana kedudukannya yang strategik selain menjadi antara hentian bas perantara Rapid KL yang membawa penonton ke SIC.
Antara program dirancang ialah Selangor Mega Food Festival 2026 di MOP KLIA yang menghimpunkan kira-kira 80 gerai menerusi tiga zon utama.
“Lokasi itu sangat strategik. Antaranya Karnival Makanan Besar yang diadakan di Mitsui Outlet terletak bersebelahan hentian bas perantara.
“Karnival itu mempunyai tiga zon pameran termasuk makanan tradisional, makanan viral serta zon pameran yang dianjurkan bersama Platform Selangor (PLATS),” katanya kepada Media Selangor.

Yee Ling berkata zon makanan tradisional mengetengahkan makanan ruji serta kuih-muih tradisional Selangor, manakala zon makanan viral menampilkan hidangan popular semasa.
Penyertaan PLATS pula memberi peluang kepada peniaga tempatan membuka gerai dan memperluas pasaran kepada pengunjung termasuk pelancong antarabangsa.
Festival itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis dan permainan interaktif, manakala persiapan penganjurannya kini mencapai 90 peratus menjelang pembukaan pada 2 Oktober.
Selain itu, Tourism Selangor turut mengambil bahagian dalam Citrawarna Speed Festival 2026 di IOI City Mall yang bermula pada 23 September.
Festival berkenaan menghimpunkan pelbagai rakan korporat yang membuka gerai dan menjual barangan berkaitan F1, selain menyediakan ruang kepada Tourism Selangor mempromosikan pakej serta produk pelancongan negeri.

“Selain itu, pusat beli-belah itu akan menganjurkan perarakan pada malam Sabtu ini dengan seramai 1,500 penari mempersembahkan tarian tradisional.
“Ia bagi menzahirkan keunikan kepelbagaian budaya Malaysia, sekali gus mempromosikan warisan budaya negara kepada pelancong dalam dan luar negara,” katanya.
Yee Ling berkata program sampingan sempena F1 turut membuka ruang kepada sektor pelancongan dan perniagaan tempatan meraih manfaat daripada peningkatan jumlah pengunjung.
“Perlumbaan F1 bukan sekadar acara sukan antarabangsa, malah merupakan platform penting untuk mempromosikan pelancongan.
“Melalui siri program sampingan ini, kita berharap dapat memanjangkan tempoh penginapan pelancong, meningkatkan keinginan mereka untuk berbelanja serta mencipta lebih banyak peluang perniagaan kepada industri seperti hotel, makanan dan minuman, peruncitan serta pengangkutan,” katanya.





