
SEPANG – Ketua Pasukan Mercedes AMG, Toto Wolff enggan masuk campur mengenai perebutan takhta kejuaraan dunia Formula Satu (F1) antara dua pelumbanya, Kimi Antonelli dan George Russell.
Sebaliknya, beliau hanya memberikan kebebasan kepada kedua-dua pelumba itu untuk bersaing bersama sendiri dan ia akan bermula pada Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Persaingan antara kedua-dua prospek juara dunia itu dijangka semakin sengit dan menarik memandangkan Antonelli dan Russell masing-masing menerima pakej naik taraf untuk jentera W17 mereka.
“Dia (Russell) seorang pelumba yang agak emosi dan bagi saya, setiap pelumba ada karakter tersendiri. Memang sukar untuk menangani keadaan itu, terutamanya ketika dia tahu ada pencabar berusia 20 tahun.
“Bagi saya, dia hanya perlu melakukan yang terbaik untuk bersaing dan menewaskan Kimi (Antonelli) kerana rakan sepasukannya itu merupakan seorang pelumba yang sangat bagus,” katanya.
Sementara itu, beliau juga percaya aksi konsisten ditampilkan Antonelli sepanjang saingan musim ini turut menjadi salah satu punca Russell mula kembali mendapatkan rentak pemanduan terbaiknya.
“Kimi memiliki bakat semula jadi dan dia sentiasa menarik perhatian penonton menerusi aksinya di dalam litar. Jika anda adalah Russell, anda perlu buktikan anda merupakan calon juara dunia,” ujar Wolff. – AGENSI
The post F1: Wolff enggan masuk campur appeared first on Kosmo Online.





