‘Fadhlan janji mahu telefon selepas garisan penamat’

7 Sep 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Fadhlan janji mahu telefon selepas garisan penamat’

MARAN – “Sebelum itu dia sihat, malah saya sempat berpesan supaya banyak minum air kerana cuaca berjerebu.

Demikian luahan bapa kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, yang meninggal dunia selepas menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) di UiTM Jengka, di sini.

Mohamad Fellimal Mohd Sulanah, 50, berkata, dia menerima panggilan daripada pegawai UiTM kira-kira pukul 11 malam kelmarin memaklumkan anak keduanya daripada empat beradik itu dimasukkan ke Hospital Jengka.

“Ketika menerima panggilan itu, saya agak terkejut dan terus bertanya apa masalah yang berlaku kerana sebelum itu dia dalam keadaan sihat. Saya kali terakhir berhubung dengannya melalui WhatsApp pada pukul 6.55 petang (Jumaat) dan dia berjanji akan menghubungi saya semula selepas acara berkenaan,”katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, kira-kira sejam kemudian, dia sekali lagi menerima panggilan telefon daripada pegawai UiTM yang memaklumkan anaknya dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.

“Saya dan isteri kemudian membuat keputusan untuk terus bertolak bersama anak-anak lain dan tiba di Hoshas kira-kira pukul 3.30 pagi semalam. Ketika sampai, doktor memaklumkan dia berada di zon merah dan sudah ditidurkan. Saya hanya dapat melihatnya dari jauh kerana seluruh badannya dipasang wayar dan ketika itu dia tidak memberikan sebarang reaksi,”katanya.

Mohamad Fellimal berkata, dia dimaklumkan doktor bahawa pihak hospital sedang menjalankan pemeriksaan dan mengendalikan kes berkenaan mengikut prosedur bagi kes berkaitan strok haba.

Tambahnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak penganjur, Fadhlan Fakhry Solana hampir menamatkan larian sebelum kelihatan longlai sebelum dibawa urusetia ke pusat kesihatan UiTM Jengka untuk mendapatkan rawatan.

“Ini kali ketiga dia menyertai acara endurance seperti ini, saya tidak menyangka penyertaannya kali ini berakhir dengan kejadian sebegini.

“Lebih menyedihkan, kali terakhir saya bergambar bersama dia dan isteri adalah pada 29 Ogos lalu ketika menghadiri majlis pentauliahan Leftenan Muda Komander Kesatria di UiTM Shah Alam. Sebagai seorang bapa, saya hanya mahu dia berjaya dalam bidang yang diminatinya. Tidak sangka kenangan bergambar bersamanya pada 29 Ogos lalu menjadi kenangan terakhir kami,”katanya dengan nada sebak.

Difahamkan prosedur bedah siasat selesai kira-kira pukul 2.30 pagi tadi dan jenazah Fadhlan Fakhry dibawa ke Masjid Denai Alam untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina.

Terdahulu, Fadhlan Fakhry dipercayai mengalami masalah berkaitan haba bersama lapan lagi peserta ketika menyertai KKEC kelmarin. Lapan pelajar berkenaan dimasukkan ke Hoshas dan Hospital Jengka untuk mendapatkan rawatan. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Fadhlan janji mahu telefon selepas garisan penamat’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved