Peserta KKEC semakin pulih, pelajar ICU sudah sedar

LocalHealth & Fitness
7 Sep 2026 • 3:10 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Peserta KKEC semakin pulih, pelajar ICU sudah sedar

MARAN – Kesemua peserta Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 yang masih menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh dan Hospital Jengka kini berada dalam keadaan stabil, termasuk seorang peserta yang sebelum ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang sudah sedar dan boleh bercakap.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, keadaan kesemua peserta terbabit menunjukkan perkembangan memberangsangkan berbanding ketika mereka mula mendapatkan rawatan selepas mengalami masalah kesihatan ketika menyertai program berkenaan.

Menurutnya, seorang peserta yang sebelum itu menerima rawatan di hospital sudah dibenarkan pulang, manakala peserta lain masih dipantau pihak perubatan sebelum dibenarkan keluar.

“Sekarang ini boleh dikatakan semua yang mendapat rawatan sudah sedar, yang di ICU pun sudah sedar dan boleh bercakap dan seorang lagi sudah di wad biasa.

“Yang di wad biasa pun sudah senyum senyum dan gelak-gelak apabila melihat kami datang,”katanya ketika ditemui sempena Khidmat Komuniti KKEC 2026 di Permatang Shahbandar, Jengka, di sini hari ini.

Mohd. Sazili berkata, dua peserta yang menerima rawatan di Hoshas ialah Liya Zafirah Muhammad dari UiTM Cawangan Perak dan Meor Aqil Wildan dari UiTM Cawangan Perlis.

Katanya, baki peserta yang masih dirawat di Hospital Jengka ialah Nur Nabihah Musyidah Md Nasri dari UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat, Nur Alia Farhana Abdul Fattah dari UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, Muhamad Adam Azfar Suzaini dan Muhammad Anas Shahrul Nizat dari UiTM Cawangan Johor serta Izzharith Zafran Muhammad Zulkarnain dari UiTM Cawangan Pahang.

Beliau berkata, keadaan awal peserta yang mendapatkan rawatan tidak seharusnya digambarkan seolah-olah kesemuanya tidak sedarkan diri, sebaliknya mereka mengalami keadaan seperti lemah dan dehidrasi.

Dalam pada itu, Mohd Sazili turut menziarahi peserta yang menerima rawatan di kedua-dua hospital berkenaan bersama Rektor UiTM Cawangan Pahang, Prof. Ts. Dr. Azhan Hashim @ Ismail dan Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Pahang, Dr. Mohd Kamal Azman Jusoh.

Kelmarin beberapa peserta KKEC 2026 menerima rawatan di Hospital Jengka sebelum dua daripadanya dipindahkan ke Hoshas bagi mendapatkan rawatan lanjut, manakala seorang peserta yang dirawat di Hospital Jengka dibenarkan keluar awal pagi semalam.

KKEC 2026 sebelum ini dikejutkan dengan insiden menyayat hati apabila seorang peserta meninggal dunia selepas mengalami masalah kesihatan ketika menyertai program berkenaan, manakala beberapa peserta lain turut menerima rawatan di hospital. – KOSMO! ONLINE

The post Peserta KKEC semakin pulih, pelajar ICU sudah sedar appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved