UiTM diminta sedia laporan lengkap kematian pelajar

7 Sep 2026 • 3:06 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: UiTM diminta sedia laporan lengkap kematian pelajar

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyediakan laporan lengkap berhubung insiden membabitkan pelajar institusi itu yang meninggal dunia ketika mengikuti program Cabaran Ketahanan Komander Kesatria (KKEC), Sabtu lalu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, laporan itu diperlukan bagi mengenal pasti punca kejadian serta tindakan susulan yang perlu diambil.

“Saya telah pun meminta kepada pihak UiTM untuk menyediakan laporan lengkap untuk kita lihat apakah punca-punca dan juga tindakan-tindakan seterusnya yang perlu kita lakukan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Tajaan kepada pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya mengambil serius setiap insiden membabitkan pelajar yang mengikuti program seumpama itu, termasuk Program Kesatria yang turut dilaksanakan di universiti lain.

Katanya, berdasarkan laporan awal yang diterima, kejadian berkenaan dipercayai berkait dengan keadaan suhu dan haba yang tinggi ketika latihan intensif dijalankan.

“Laporan awal yang disampaikan kepada kita melibatkan suhu dan haba yang agak terlalu tinggi sehingga menyebabkan beberapa pelajar terkesan kerana ia merupakan latihan intensif yang biasanya dilaksanakan setiap tahun.
Namun, pada kali ini, lain yang berlaku,” katanya.

Zambry berkata, kejadian itu perlu dijadikan pengajaran bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan serta mendoakan pelajar lain yang sedang menerima rawatan agar segera pulih dan dapat meneruskan pengajian.

“Saya bagi pihak Kementerian Pendidikan Tinggi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan juga pelajar yang sedang dirawat. Kita doakan agar keadaan mereka kembali pulih dan mereka dapat meneruskan pengajian,” katanya.

Kelmarin, seorang peserta Cabaran Ketahanan Komander Kesatria (KKEC) 2026 meninggal dunia manakala lapan lagi dimasukkan ke hospital selepas mengalami komplikasi berkaitan haba di kampus cawangan UiTM Pahang di Jengka.

Mangsa, Fadhlan Fakhry Solana Mohd. Fellimal, 21, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh, Sabtu lalu. – KOSMO! ONLINE

The post UiTM diminta sedia laporan lengkap kematian pelajar appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved