Fairphone 6 dilancarkan hari ini dan seperti model Fairphone terdahulu dipasarkan sebagai peranti yang mudah dibaiki sendiri oleh pemilik jika rosak dan kali ini menggunakan sistem operasi baharu yang telah di nyah-Google.
Sistem operasi /e/OS adalah berasaskan Android 15 tetapi tanpa aplikasi Google terpasang seperti peranti Android yang lain. Pengguna diberikan pilihan untuk masih menggunakannya menerusi sistem micro G sekiranya diperlukan. Peranti akan menerima kemas kini sehingga lima tahun.

Peranti hadir dengan skrin 6.31″ P-OLED LTPO 120Hz dengan kaca Corning Gorilla Glass 7i. Ini dipadankan dengan cip Snapdragon 7s Gen 3, memori sebesar 8GB RAM dan storan sebesar 256GB yang boleh ditambah sehingga 2TB menggunakan kad microSD. Bateri adalah sebesar 4415 mAh yang menyokong pengecasan 30W.
Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP dan lensa ultra lebar 13MP. Di hadapan kamera swafoto adalah sebesar 32MP. Fairphone 6 mempunyai rekaan modular yang membolehkan 12 komponen utama peranti digantikan sendiri oleh pengguna. Tubuh peranti turut melepasi piawaian IP55.
Kesemua bahan yang digunakan untuk membina Fairphone 6 juga dipastikan menghormati hak asasi manusia dan komponen boleh dikitar semula dengan mudah.
Oleh sebab itu walaupun ia sebuah peranti kelas pertengahan, setiap Murena Fairphone (Gen. 6) dijual pada harga $899 (~RM 3810) sebuah dengan pilihan warna putih, hijau dan hitam.

