
PRESIDEN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan tampil dengan pendekatan lebih profesional selepas sah menjadi calon merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi baki penggal 2025-2029.
Enggan menjadikan jawatan Presiden FAM sekadar soal kedudukan, Ab Ghani menawarkan strategi lebih terbuka dan mengutamakan kerjasama sebagai asas pentadbirannya jika diberi kepercayaan pada Kongres Pemilihan, 17 September depan.
Malah, beliau secara jelas mahu semua pihak dalam ekosistem bola sepak negara duduk semeja, membuka ruang perbincangan dan mencari penyelesaian bersama berbanding bergerak secara bersendirian.
“Bagi saya, pencalonan ini bukan soal kedudukan atau jawatan semata-mata, tetapi satu amanah dan tanggungjawab besar untuk bersama-sama membawa bola sepak Malaysia ke arah yang lebih baik.
“Jika diberi kepercayaan, saya mahu membawa pendekatan yang lebih terbuka, profesional dan berteraskan kerjasama.
“Kita perlu duduk bersama, mendengar pandangan semua pihak dan mencari penyelesaian terbaik untuk masa depan bola sepak negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Ab Ghani memilih untuk tidak bersikap ‘retorik’ dengan melontarkan manifesto buat masa ini, sebaliknya mahu menghormati proses pemilihan dan memberi ruang kepada ahli gabungan menentukan pilihan mereka.
“Buat masa ini, saya tidak mahu bercakap terlalu jauh mengenai apa yang akan dilakukan. Apa yang penting, saya tampil dengan niat untuk berkhidmat dan menyumbang pengalaman yang ada demi kepentingan bola sepak Malaysia,” katanya.
Saingan kali ini bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru apabila Ab Ghani berdepan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar untuk menjadi Presiden ke-9 dalam sejarah badan induk itu.
The post FAM: Ab Ghani tawar kerjasama terbuka appeared first on Kosmo Digital.






