
PETALING JAYA: Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan mahu membawa pendekatan lebih terbuka, profesional dan berteraskan kerjasama sekiranya diberi kepercayaan menerajui Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi baki penggal 2025-2029.
Beliau berkata, kepimpinan baharu FAM perlu bersedia mendengar pandangan semua pihak dalam ekosistem bola sepak negara sebelum mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan sukan itu terus berkembang.
“Jika diberi kepercayaan, saya mahu membawa pendekatan yang lebih terbuka, profesional dan berteraskan kerjasama.
“Kita perlu duduk bersama, mendengar pandangan semua pihak dan mencari penyelesaian terbaik untuk masa depan bola sepak negara,” katanya.
Ab Ghani berkata, pencalonannya untuk jawatan Presiden FAM bukan semata-mata berkaitan kedudukan atau jawatan, sebaliknya satu amanah dan tanggungjawab besar untuk membantu membawa bola sepak Malaysia ke arah lebih baik.
Katanya, masih terdapat banyak ruang yang boleh diperbaiki termasuk aspek tadbir urus, pembangunan bola sepak, pengurusan pertandingan serta memastikan kepentingan semua pihak dalam ekosistem bola sepak negara mendapat perhatian.
“Saya melihat masih banyak ruang yang boleh kita perbaiki, khususnya dari aspek tadbir urus, pembangunan bola sepak, pengurusan pertandingan serta usaha memastikan kepentingan semua pihak dalam ekosistem bola sepak negara dapat diberi perhatian,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Ghani menghormati proses pemilihan yang bakal berlangsung selain menghargai kesemua calon yang tampil menawarkan diri untuk merebut jawatan dalam badan induk bola sepak negara itu.
Katanya, proses berkenaan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada demokrasi dalam bola sepak dan beliau percaya semua pihak mempunyai matlamat sama untuk melihat sukan berkenaan terus berkembang.
“Buat masa ini, saya tidak mahu bercakap terlalu jauh mengenai apa yang akan dilakukan. Saya mahu menghormati proses pemilihan terlebih dahulu dan memberi ruang kepada ahli gabungan untuk membuat penilaian serta keputusan mereka.
“Apa yang penting, saya tampil dengan niat untuk berkhidmat dan menyumbang pengalaman yang ada demi kepentingan bola sepak Malaysia,” katanya.
Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 dijadual berlangsung pada 17 September ini bagi memilih Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk baki penggal 2025-2029.-UTUSAN
The post Beri ruang ahli gabungan buat pilihan appeared first on Utusan Malaysia.






