
PETALING JAYA: Ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya mempunyai dua pilihan sama ada memilih Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan atau Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar untuk menerajui badan induk itu.
Pertembungan itu berlaku selepas nama Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin tiada dalam senarai calon yang dikeluarkan FAM semalam, sekali gus membuka laluan kepada Ab Ghani dan Shahril untuk menentukan siapa bakal menerajui badan induk bola sepak negara.
Ab Ghani membawa pengalaman luas dalam pentadbiran bola sepak profesional selepas menyertai struktur pengurusan MFL pada 2019 sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan kemudiannya Presiden MFL.
Bekas pemain bola sepak itu turut mempunyai latar belakang dalam sektor korporat sebelum memberi tumpuan kepada pengurusan sukan, pengalaman sebagai pemain dan pentadbir menjadikan Ab Ghani antara tokoh yang berada dalam ekosistem bola sepak tempatan.
Shahril pula tampil dengan latar belakang korporat serta pengalaman dalam pentadbiran bola sepak negeri dan kebangsaan. Selain Timbalan Presiden FAS, beliau pernah menjadi Exco FAM serta memegang portfolio berkaitan penajaan dan pemasaran badan induk itu.
Pendekatan Shahril lebih menjurus kepada agenda perubahan dan reformasi FAM dan beliau sebelum ini mengakui dirinya sebagai ‘underdog’, namun yakin visi serta formula baharu yang ditawarkan mampu mendapat kepercayaan ahli gabungan.
“Saya menawarkan diri sebagai calon yg akan berani membuat keputusan sukar demi kebaikkan jangka masa panjang Bolasepak Malaysia. Laporan AFC mengesahkan FAM di tahap yang paling rendah sekarang.
“Cara kepimpinan dan pengurusan lama sudah jelas gagal dan tidak akan membawa kita kedepan. Saya akan membawa FAM ke era pengurusan yang terbuka, jelas dan mendengar suara penyokong dan rakyat,” kata Shahril
The post Siapa pilihan ahli gabungan FAM? appeared first on Utusan Malaysia.






