
KUALA LUMPUR: Kembali menggalas watak utama selepas tujuh tahun memperlahankan kerjaya seni, pelakon, Farah Nabilah kini lebih berhati-hati dalam memilih tawaran lakonan selain menetapkan beberapa batasan yang selari dengan prinsip dan imejnya.
Menurut Farah, kematangan serta perubahan dalam kehidupan termasuk bergelar isteri dan ibu membuatkan dirinya lebih selektif, terutama dalam soal sentuhan dengan pelakon lelaki serta karakter yang mahu dibawakan.
“Syarat saya sekarang tidak boleh ada sentuhan. Pada asasnya itu sahaja. Bagi saya, sesuatu adegan masih boleh menjadi walaupun tanpa bersentuhan.
“Kalau kita benar-benar memahami watak, menghayati emosi dan melontarkan dialog dengan baik, sesuatu adegan itu tetap boleh sampai kepada penonton,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain menjaga batas sentuhan, Farah turut memilih untuk tidak menerima karakter antagonis keterlaluan atau watak ‘penyondol’, bukan sahaja atas prinsip peribadi tetapi turut mengambil kira pandangan suami serta anak-anak.
“Suami kurang bersetuju kalau saya membawa watak penyondol atau antagonis yang terlalu jahat. Anak-anak menonton televisyen dan mereka masih belum boleh membezakan sepenuhnya antara lakonan dengan realiti.
“Nanti mereka mungkin akan bertanya. Jadi, saya memang cuba mengelakkan watak seperti itu. Baru-baru ini pun ada tawaran untuk membawa watak antagonis, tetapi karakter itu terlalu jahat. Saya rasa tidak boleh menerimanya kerana bercanggah dengan prinsip saya,” jelasnya.
Dalam masa sama, pelakon drama Titian Cinta itu memaklumkan dia kini lebih cenderung memilih karakter wanita yang mempunyai kekuatan dan mampu mempertahankan diri meskipun berdepan konflik berat.
“Kalau saya membawa watak seorang wanita yang dipukul sekalipun, saya tidak mahu dia digambarkan sebagai seseorang yang hanya reda menerima keadaan.
“Saya mahu dia tetap berjuang untuk dirinya sendiri. Walaupun dalam skrip mungkin ditulis dia reda, saya tidak mahu membawakannya dengan cara yang membuatkan wanita kelihatan lemah,” katanya.
Bagaimanapun, Farah menegaskan dia tidak pernah benar-benar meninggalkan dunia lakonan, sebaliknya hanya mengambil masa untuk memberi keutamaan kepada keluarga.
“Ramai yang tanya sama ada saya sudah berhenti berlakon. Sebenarnya bukan berhenti, cuma berehat seketika kerana saya mahu beri perhatian penuh untuk membesarkan anak.
“Sepanjang tujuh tahun tidak berlakon itu juga ada saja tawaran yang datang, tetapi tidak berbaloi untuk saya tinggalkan anak.
“Farah Nabilah dahulu dan sekarang sudah berbeza. Sekarang saya lebih matang. Apabila sudah melalui banyak pengalaman dalam kehidupan, saya rasa lebih mudah untuk membawa sesuatu watak,” ujarnya.
The post Farah Nabilah letak batasan selepas tujuh tahun berehat appeared first on Utusan Malaysia.






