
TEMERLOH – “Dalam hati saya kata, bukan anak aku kot,” itu luahan bapa kepada pemilik Secangkir Cafe, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, yang maut bersama suami dan anak lelakinya dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1), di sini malam tadi.
Mohd Kazwan Kassim, 59, berkata, dia pada mulanya cuba menafikan kemungkinan kenderaan jenis Proton S70 yang dilihat dalam gambar kemalangan di laman sosial Facebook itu adalah milik anaknya.
“Bila tengok gambar itu, saya rasa macam kereta anak saya sebab dia memang pakai S70 tetapi dalam hati saya kata, bukan anak aku kot. Kemudian kawan dia hantar nama mangsa yang terbabit. Bila tengok nama itu, memang sahih nama anak saya yang kena,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas Temerloh), di sini hari ini.
Mohd Kazwan berkata, kali terakhir dia bertemu anak kedua daripada empat beradik itu adalah pada Khamis lalu ketika Nur Atiqah datang ke rumahnya bersama suami dan anak mereka.
Katanya, perkara yang paling membuatkannya sebak ialah Nur Atiqah sempat berkongsi gambar keluarga mereka menyambut Hari Kebangsaan di Putrajaya dalam kumpulan WhatsApp keluarga.
“Rasanya ini kali pertama mereka sambut Merdeka di Putrajaya. Sebelum ini biasanya mereka sambut di Kuantan saja. Saya sendiri memang tak sangka. Tetapi ini sudah ketentuan Allah belaka,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Empat maut LPT1: Tiga beranak baru balik sambut merdeka di Putrajaya appeared first on Kosmo Digital.





